INGIN bina semula kerjaya nyanyian yang ditinggalkan selepas berkahwin.
INGIN bina semula kerjaya nyanyian yang ditinggalkan selepas berkahwin.
Norhadiani Baharom

Pernah mengejutkan umum apabila dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan atas dakwaan berkhalwat tahun lalu ketika masih memegang status isteri pelawak yang juga pelakon komedi, Along Cham, penyanyi Zila Seeron juga menjadi cemuhan ramai apabila membuka tudung manakala rambutnya diwarnakan perang.

Baru-baru ini, Zila sekali lagi mengejutkan peminat apabila kembali mengenakan hijab sehingga menimbulkan tanda tanya apakah dia cuba mempersenda adab pemakaian tudung?

Zila yang sah bercerai pada 28 Ogos 2016 mengakui selepas itu dia tidak berhijab, tetapi sesudah mempertimbangkan sebaik-baiknya khususnya untuk kebaikan diri dan mendapatkan keberkatan dalam hidup, dia memutuskan kembali berhijab.

“Tolong doakan saya agar terus istiqamah dengan penampilan begini. Saya mohon maaf andai pernah mengguris perasaan ramai pihak.

“Sebagai manusia yang kerdil di bumi Allah SWT ini, saya tidak lari daripada membuat kesilapan dan terima setiap yang berlaku dengan hati yang lapang.

“Tidak dinafikan sukar untuk saya melalui situasi yang membabitkan orang ramai, namun saya perlu cekal dan tabah,” katanya.

Zila juga yakin anak tunggalnya, Ahmad Danial, 6, yang diberi hak penjagaan sepenuhnya kepada bekas suami, dijaga dengan baik oleh keluarga Along Cham.

Selesa menjalani kehidupan solo, dia juga belum terlintas untuk kembali berumah tangga. Fokus utamanya kini membina kerjaya nyanyian semula.

“Saya tak pernah serik untuk berkahwin lagi cuma soal jodoh ini adalah rahsia Allah SWT. Apa yang lebih utama sekarang adalah untuk mencari rezeki dan kembali aktif dalam bidang nyanyian.

“Sudah tiba masanya membina nama dalam persada nyanyian yang saya tinggalkan selepas mendirikan rumah tangga.

“Meskipun belum ada sebarang produk baru, saya masih menerima undangan menyanyi dan berharap kemunculan saya nanti disambut baik oleh peminat dan penggiat industri,” katanya.

Sebagai kelainan, Zila akan membuat kemunculan semula bersama kumpulan Sevenation. Zila akui sedikit pun tidak kekok beraksi bersama mereka.

Katanya, Sevenation adalah kumpulan pemuzik yang dikenalinya sejak sekian lama iaitu sejak sekolah menengah.

“Tiada masalah bekerjasama dengan mereka kerana kami sudah lama kenal. Insya-Allah jika semuanya berjalan dengan baik, kami akan berkolaborasi sempena kemunculan semula saya dan pada yang sama memperkenalkan bakat mereka di dalam arena muzik tempatan.

“Berkenaan genre muzik bakal diketengahkan kami, setakat ini belum ada perbincangan secara terperinci. Namun apa yang saya mampu katakan mereka adalah kumpulan muzik versatil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 1:10 AM