ANGGOTA polis membuat pemeriksaan pada mayat Suttinee (dikaburkan media Thai) yang ditemui mati dibunuh kekasihnya sendiri.
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan pada mayat Suttinee (dikaburkan media Thai) yang ditemui mati dibunuh kekasihnya sendiri.

Ayutthaya (Thailand): Gara-gara cemburu buta, seorang lelaki di sini tergamak menikam kekasihnya bertubi-tubi hingga mati sebelum cuba membunuh diri semalam.

Kamolpop Ketchom, 29, ditemui berlumuran darah dengan kesan tikaman di dada di sebuah apartmen di daerah Uthai awal pagi semalam.

Lelaki itu ditemui jiran sedang merangkak keluar dari rumahnya di tingkat dua bagi meminta pertolongan.

Polis yang datang ke lokasi kejadian kemudian menemui mayat seorang wanita yang berlumuran darah di atas katil di kediaman berkenaan.

Kamolpop dipercayai menikam kekasihnya, Suttinee Saisomboon, 20, hingga mati sebelum cuba membunuh diri dengan menikam dadanya dengan sebilah pisau.

Jurucakap polis berkata, pasangan itu tinggal bersama, tetapi sering bergaduh.

“Kamolpop memberitahu, dia membunuh kekasihnya, pelajar universiti, kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Kamolpop kini dirawat di hospital dengan kawalan polis dan dia mungkin berdepan tuduhan membunuh,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 11:11 AM