ZAW Lin (kanan) dan Win Zaw Htun  tiba di mahkamah di Koh Samui, semalam.
ZAW Lin (kanan) dan Win Zaw Htun tiba di mahkamah di Koh Samui, semalam.

Koh Samui (Thailand): Perbicaraan dua pendatang warga Myanmar yang dituduh membunuh dua pelancong warga Britain di sini tahun lalu bermula semalam.

Zaw Lin dan Win Zaw Tun dituduh membunuh David Miller, 24, dan kekasihnya, Hannah Witheridge, 23, di Koh Tao, selatan negara itu, September tahun lalu.

Kedua-dua lelaki itu yang menaiki van penjara hadir ke mahkamah di Koh Samui semalam dengan tangan dan kaki bergari.

Mereka berdepan beberapa tuduhan termasuk membunuh, merogol dan merompak.

Sekiranya didapati bersalah, kedua-dua lelaki berkenaan berdepan hukuman mati.

Keluarga kedua-dua pelancong Britain berkenaan turut menghadiri perbicaraan.

Mayat Miller dan Hannah dijumpai dalam keadaan berlumuran darah di tepi pantai di pusat pelancongan popular berkenaan.

Mayat Miller ditemui di kawasan air cetek manakala mayat Hannah dijumpai tidak jauh dari mayat lelaki itu.

Polis berkata, Hannah dipercayai dirogol dan dipukul hingga mati. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 9:38 AM