Agensi

Kuchinarai, Thailand: Akibat bosan kerana sering ditengking berulang kali, seorang tukang cuci bangunan menembak mati pengarah sekolah tempatnya bekerja, lapor media semalam.

Menurut jurucakap polis wilayah Kalasin, mereka dimaklumkan mengenai kejadian di Sekolah Samkhratbamrung di daerah Kuchinarai itu kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Kata jurucakap itu, Yongyut Saisomboon, 59, sedang minum bersama beberapa guru lain di kantin sekolah apabila didatangi Jai Cherdchai.

“Sebaik saja Yongyut melihat Jai, mereka mula bertengkar dan suspek mengeluarkan pistol lalu menembak mangsa berkali-kali.

“Kejadian disaksikan beberapa guru,” katanya.

Sejurus selepas itu, kata jurucakap polis, suspek ketakutan dan melarikan diri.

Apabila polis tiba, katanya, mereka menemui mayat Yongyut terkapar dan berlumuran darah di kantin sekolah.

Polis turut menemui lapan kelongsong peluru di tempat kejadian.

Jai kemudian ditangkap di rumahnya tidak lama kemudian.

Polis merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuchinarai, Kol Prasit Champathum berkata, tukang cuci bangunan itu mengaku menembak Yongyut akibat terlalu lama menyimpan dendam.

Kata Prasit, Jai sering dimarahi Yongyut kerana tidak datang bekerja.

“Sebelum melakukan pembunuhan, Jai pulang mengambil pistolnya.

“Jai juga memberitahu isterinya bahawa dia ingin membunuh seseorang pada hari itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:06 AM