ANGGOTA kabilah yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi memeriksa kereta kebal mereka di Sirwah, Marib, bandar di barat  Yaman.
ANGGOTA kabilah yang menyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi memeriksa kereta kebal mereka di Sirwah, Marib, bandar di barat Yaman.

Aden: Kumpulan yang berperang di Yaman bersiap sedia untuk mematuhi gencatan senjata selama seminggu bermula 15 Disember ini sementara rundingan damai anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di Switzerland.

“Persetujuan gencatan senjata antara kerajaan dan pemberontak akan dikuatkuasakan pada 15 Disember, serentak dengan permulaan rundingan,” kata Menteri Luar Yaman Abdel Malak al-Mekhlafi.

Sumber dari Kabinet Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi berkata, gencatan senjata itu akan berlangsung selama tujuh hari, seperti yang dinyatakan dalam surat Abed Rabbo kepada Majlis Keselamatan PBB.

Usaha menghentikan pertempuran di Yaman berdepan masalah sejak beberapa bulan lalu.

Konflik di negara itu bertambah buruk sejak Mac lalu apabila pakatan prokerajaan Abed Rabbo yang diketuai Arab Saudi mula mengebom pemberontak Houthi.

Duta khas PBB Ismail Ould Cheikh Ahmed berkata kelmarin, tiga perwakilan akan menyertai rundingan yang akan diadakan di luar Geneva dan tiada masa ditetapkan untuk menamatkannya.

Perwakilan itu terdiri daripada wakil kerajaan Abed Rabbo, pemberontak Houthi dan pegawai Kongres Rakyat Am yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

Menurut PBB, lebih 5,700 orang terbunuh di Yaman, hampir separuh daripada mereka orang awam, sejak Mac lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 12:37 PM