LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tiga pengendali makanan disyaki menjadi punca kepada kes penularan tifoid atau demam kepialu yang berlaku di sebuah sekolah menengah di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, semua pengendali makanan itu diberi rawatan dan tidak dibenarkan mengendalikan makanan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ringkasan Berita
  • Tiga pengendali makanan disyaki jadi punca
  • Enam kes dikenalpasti membabitkan pelajar Tingkatan 1 dan 5
  • Mereka alami gejala demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan
  • 35 kes dirujuk ke fasiliti kesihatan untuk siasatan dan rawatan lanjut
  • Katanya, siasatan lanjut mendapati, satu wabak demam tifoid yang diisytiharkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu di sebuah sekolah menengah bermula pada 20 Jun lalu.

    "Sehingga 3 Julai, sebanyak enam kes dikenal pasti dalam wabak ini yang membabitkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan gejala demam, sakit perut, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

    "Semua kes dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan dua kes sembuh serta dibenarkan discaj dari wad," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

    Dr Zaini berkata, sebanyak 35 kes yang disyaki demam tifoid dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk siasatan dan rawatan lanjut, namun tiada kes bergejala teruk atau kematian dilaporkan.

    Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan terus memantau situasi ini dan menjalankan langkah-langkah kawalan bagi mencegah wabak daripada berpanjangan.

    "Saringan menyeluruh kepada semua warga sekolah akan dijalankan oleh PKD Kota Bharu dalam masa terdekat," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:01 PM