TENTERA yang setia kepada Presiden Abed Rabbo mengawal di bandar Aden, semalam.
TENTERA yang setia kepada Presiden Abed Rabbo mengawal di bandar Aden, semalam.

Marib: Gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman dilapor bertahan semalam, meningkatkan harapan rundingan damai yang dijadual minggu depan mungkin dapat menyelesaikan pertelingkahan bersenjata di negara itu.

Tentera yang setia kepada PresidenAbedrabbo Mansour Hadi, pemberontak Houthi dan pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi berikrar untuk mematuhi gencatan senjata itu selepas ia mula dikuatkuasakan tengah malam kelmarin.

“Ini langkah pertama untuk mengembalikan keamanan di Yaman. Ia amat penting. Negara itu tidak mampu untuk kehilangan lebih banyak nyawa,” kata duta khas PBB Ismail Ould Cheikh Ahmed.

Usaha sebelum ini untuk menghentikan peperangan yang menyebabkan ribuan terbunuh dan memaksa lebih dua juta penduduk meninggalkan kediaman, gagal.

Ketua turus tentera yang setia kepada kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi, Jeneral Mohamed Ali al-Makdashi berkata, secara umumnya, gencatan senjata itu bertahan walaupun beberapa pencabulan dilakukan pemberontak Houthi.

Menurutnya, beberapa pertempuran berlaku di bandar Taez di barat daya dan Marib di timur Sanaa.

Jurucakap pakatan Arab, Brigadier Jeneral Ahmed Assiri menyifatkan pencabulan itu kecil.

“Ini hari pertama. Kita perlu bersabar,” kata pegawai kanan tentera Saudi itu.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk Yaman tidak yakin gencatan senjata itu akan bertahan lebih lama.

“Saya tidak menjangka ia akan berterusan. Saya tidak percaya Houthi akan komited dengan gencatan senjata itu,” kata seorang penduduk di Marib, Zayed al-Qaisi.

Di Sanaa, penyokong Houthi sangsi Arab Saudi akan mematuhi gencatan senjata itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:13 AM