SEORANG penyokong Presiden Abed Rabbo duduk di atas kenderaan berperisai untuk meronda bandar raya Aden, semalam.
SEORANG penyokong Presiden Abed Rabbo duduk di atas kenderaan berperisai untuk meronda bandar raya Aden, semalam.
Agensi

Geneva: Pihak yang bertelingkah di Yaman bersetuju mengadakan rundingan damai di Switzerland minggu depan.

Perkara itu dinyatakan oleh duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ismail Ould Cheikh Ahmed kepada wartawan di Geneva.

Menurutnya, ia akan diadakan bermula 15 Disember sementara tempatnya akan ditetapkan kemudian.

Ismail berkata, terdapat tanda-tanda satu gencatan senjata akan dilaksanakan pada hari sama akan dihormati.

Rundingan itu, katanya, hanya akan dihadiri oleh kumpulan tempatan yang bertelagah, tidak ada pihak luar.

“Hanya penyelesaian politik dapat menamatkan krisis di Yaman,” kata Ismail.

Dia juga berkata, Presiden Yaman Abed Rabbo Mansour Hadi sudah bersedia untuk mengadakan gencatan senjata pada hari berkenaan,

“Saya berada di Aden dua hari lalu dan beliau menyatakan kesediaannya untuk mengadakan gencatan senjata itu dan berunding,” kata Ismail.

Yaman dilanda perang saudara sejak tahun lalu apabila pemberontak Houthi berfahaman Syiah menawan Sanaa.

Pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara sejak Mac lalu untuk mengembalikan pemerintahan Abed.

Sejak itu, menurut PBB, hampir 6,000 orang, kebanyakannya orang awam terbunuh.

Usaha untuk menamatkan sengketa itu sebelum ini gagal apabila kerajaan Abed mendesak pelaksanaan ketetapan PBB yang menggesa Houthi meletakkan senjata dan berundur dari Sanaa sebelum rundingan diadakan.

Houthi pula mahukan ia diberi peranan lebih besar dalam politik negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 7:44 AM