Syafiqah (tengah) dan Faiz (kanan) bersama hadiah masing-masing ketika Majlis Ihtifal Kesenian Islam di Penjara Tapah. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Syafiqah (tengah) dan Faiz (kanan) bersama hadiah masing-masing ketika Majlis Ihtifal Kesenian Islam di Penjara Tapah. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Tapah: Hikmah di sebalik menjalani hukuman penjara, Syafiqah (bukan nama sebenar), 32, yang selama ini lalai dalam soal agama, tidak menyangka al-Quran mampu mengubah hidupnya.

Di sebalik tirai besi, kitab suci itu bagaikan 'rakan karib' buat Syafiqah dan lebih membanggakan, pada Majlis Ihtifal Kesenian Islam di Penjara Tapah, di sini, hari ini, dia dinobatkan Johan Hafazan al-Quran Tahap Tiga Kategori Wanita.

Syafiqah yang dihukum penjara sejak lebih dua tahun lalu di Penjara Wanita Kajang, Selangor atas kesalahan dadah mengakui gembira dengan pencapaiannya itu.

"Sejak belajar al-Quran di penjara, saya dapat baiki minda dan pemikiran saya kepada yang lebih baik.

"Alhamdulillah sekarang saya mampu menghafal surah al-Baqarah berkat bimbingan ustazah yang dilantik Jabatan Penjara," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Johan Hafazan al-Quran Tahap Tiga Kategori Lelaki pada majlis itu, pelajar Sekolah Henry Gurney, Faiz (bukan nama sebenar), 20, turut berkongsi pengalaman sama dilalui Syafiqah.

Faiz mengakui, mendekatkan diri dengan al-Quran membuatkan dia insaf terhadap kesalahan lampau dan bersyukur berjaya menghafal tujuh juzuk selepas dua tahun di institusi Jabatan Penjara itu.

"Saya berazam untuk teruskan hafazan selepas tamat hukuman tujuh bulan lagi dan berharap diterima semula oleh keluarga," katanya.

Syafiqah dan Faiz antara 128 penghuni dari 26 institusi di Jabatan Penjara dari seluruh negara yang menyertai pertandingan hafazan al-Quran dan marhaban pada majlis itu.

Mereka juga antara penghuni penjara yang menerima bimbingan Bahagian Agama dan Kaunseling bersama pegawai Kader Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalani kelas pengajian al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:44 PM