LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan menjalankan siasatan dengan mengambil sampel makanan ikan dari kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi tujuan pengesahan komposisi makanan.

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan analisa sampel makanan ikan itu akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja.

Menurut DOF, langkah itu diambil susulan sebuah kilang kitar semula di Kuala Muda, Kedah yang telah diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam kerana dipercayai memproses bahan kitar semula untuk dijadikan pelet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula.

"Beg pembungkusan yang digunakan adalah beg makanan ikan hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak yang beranggapan bahawa pelet plastik itu adalah makanan ikan," menurut kenyataan itu.

Semalam media melaporkan JAS telah mengesan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan dan menemukan kira-kira 100 metrik tan pelet itu yang telah selesai diproses serta dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.

DOF memberitahu bahawa kilang kitar semula itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PSJ Feed Sdn Bhd, iaitu sebuah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi di Pulau Pinang sejak 2022.

PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan Sijil Kualiti Ikan (FQC) yang menunjukkan komitmen syarikat itu terhadap kualiti dan keselamatan produk, menurut DOF.

Jabatan itu turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua makanan ikan yang dihasilkan oleh kilang yang berdaftar dan mematuhi piawaian DOF adalah selamat untuk digunakan.

Menurut DOF lagi, jabatan itu sentiasa menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kilang makanan ikan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan Akta Makanan Haiwan 2009.

Sebagai langkah tambahan, DOF memberitahu jabatan itu akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan untuk meningkatkan pengawasan terhadap operasi kilang pembuatan makanan haiwan bagi memastikan tiada bahan berbahaya digunakan dalam penghasilan makanan ikan.

"DOF menyeru penternak akuakultur untuk lebih berhati-hati dan memastikan produk makanan ikan yang dibeli adalah daripada sumber yang sah dan mempunyai pensijilan yang diiktiraf," menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Azahari Othman hari ini dilaporkan menyangkal dakwaan penggunaan pelet plastik untuk dijadikan makanan ikan dan ia hanyalah satu kekeliruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:18 PM