Aden: Pertempuran di beberapa kawasan Yaman kelmarin menyebabkan 22 pemberontak Houthi dan 11 pejuang prokerajaan terbunuh, kata pegawai tentera.

Pertempuran sengit tercetus di wilayah Jawf apabila pemberontak Houthi menyerang pejuang prokerajaan di daerah al-Motoon.

Serangan itu mencetuskan tindak balas oleh tentera kerajaan yang disokong jet pejuang dari tentera pakatan Arab diketuai Arab Saudi.

Serangan itu menyebabkan 13 pemberontak terbunuh manakala lapan pejuang prokerajaan maut selepas serangan udara tersasar di kedudukan mereka.

Di selatan Yaman pula, tiga pemberontak terbunuh dalam pertempuran di
Bayhan di wilayah Shabwa.

Enam pemberontak dan tiga pejuang prokerajaan maut dalam pertempuran di barat daya Taez.

Pertempuran masih tercetus walaupun perjanjian gencatan senjata yang ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkuat kuasa 11 April lalu, yang membuka laluan rundingan damai di Kuwait.

Rundingan damai itu menerima tamparan hebat pada Khamis lalu apabila wakil kerajaan mendesak pengunduran penuh pemberontak dari kawasan yang ditawan mereka sejak 2014.

Pada Rabu lalu, wakil pemberontak berkata, mereka tidak akan menandatangani perjanjian berkaitan ketenteraan dan keselamatan sehingga ada perjanjian mengenai satu kesepakatan presiden dan kerajaan perpaduan untuk memantau peralihan berkenaan.

Pelan rundingan damai yang dikemukakan wakil PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan seiring dengan pengunduran dan pelucutan senjata pemberontak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:16 AM