TUNKU Ali Redhauddin (kanan) dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb (dua, kiri) diiringi Anwar hadir pada Majlis Konvokesyen Khas USIM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.
TUNKU Ali Redhauddin (kanan) dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb (dua, kiri) diiringi Anwar hadir pada Majlis Konvokesyen Khas USIM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini perlu lebih positif dan berani menonjolkan akhlak Islam, dalam menyantuni penganut agama lain di Malaysia serta rantau Asia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata itu antara pandangan dikemukakan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb kepada beliau, dalam usaha merealisasikan cita-cita Malaysia membentuk sebuah negara Madani.

Anwar berkata dalam pertemuan malam tadi, tokoh agama terkemuka itu juga menggesa beliau bekerja lebih kuat dan bersungguh-bersungguh, bagi menghimpunkan kekuatan umat dan pada masa sama memastikan ada sikap lunak, berbaik sangka, saling menghormati serta lita'aruf dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

"Insya-Allah, kita akan tunaikan amanat, pandangan yang beliau sentuh dengan sebaik mungkin, terutama soal landasan kekuatan asas Muslim serta peringatan kepada umat Islam untuk mempunyai keupayaan menguasai disiplin ilmu dan teknologi baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Sheikh Al-Azhar, yang disempurnakan Pro-Canselor USIM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dalam Majlis Konvokesyen Khas di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar dalam ucapannya juga berharap supaya USIM dapat memainkan peranan menterjemah pidato Sheikh Al-Azhar yang disampaikannya usai penganugerahan pada hari ini, bagi memastikan ia dapat dimanfaat serta disebar luas ke seluruh negara.

"Kupasan pidato Sheikh Al-Azhar ini membuktikan ketokohan dan tahap ilmu beliau, saya terpegun dan terpukau dengan kupasan yang begitu meluas," katanya sambil memuji keputusan USIM memberi pengiktirafan kepada tokoh agama itu.

Perdana Menteri pada masa sama berkata Sheikh Al-Azhar mempunyai sumbangan sangat besar kepada dunia Islam termasuk di Kepulauan Melayu.

"Malah Azharis (lulusan Universiti Al-Azhar) banyak beri manfaat, menjadi benteng utama mempertahankan akidah ilmu, menanam semangat serta roh Islam dalam masyarakat di sini menghadapi serangan pelbagai (seperti) kepincangan akibat asakan pemikiran barat, ideologi liberal menyimpang landasan Islam serta pelampau taksub, sehingga berlaku perpecahan.

"Semoga universiti utama seperti Al-Azhar ini dengan rangkaian sistem pendidikan yang ada dalam negara kita, dapat meneruskan usaha mempertahankan umat utamanya melalui gedung-gedung ilmu," katanya.

Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, kini dalam lawatan khas selama empat hari ke Malaysia hingga Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:01 PM