KEDUA-dua pasukan bakal bertemu Sabtu ini. FOTO AFP
KEDUA-dua pasukan bakal bertemu Sabtu ini. FOTO AFP
Reuters

Stuttgart: Sepanyol dan Jerman, dua negara paling berjaya di Kejohanan Eropah dan antara pasukan paling mengagumkan di Euro 2024, akan bertembung di suku akhir, Sabtu ini.

Walaupun masing-masing sudah memenangi tiga kejuaraan Euro, lebih banyak berbanding negara lain, dan beraksi lebih banyak perlawanan di Kejohanan Eropah berbanding pasukan lain, Sabtu ini hanya akan menjadi pertemuan keempat antara mereka.

Kali pertama di Perancis pada 1984, ketika Jerman Barat menjadi juara bertahan dan diundi dalam kumpulan bersama Sepanyol, Portugal dan Romania.

Mereka bertemu dalam perlawanan terakhir, dengan Jerman mendahului tiga mata (dua mata diberikan untuk kemenangan) manakala Sepanyol dan Portugal masing-masing mengumpul dua mata.

Sepanyol mensia-siakan peluang terbaik pada pada separuh masa pertama apabila sepakan penalti lemah Lobo Carrasco mudah dinafikan oleh Harald Schumacher.

Namun dengan masa yang semakin suntuk, tandukan Antonio Maceda pada minit ke-90 memastikan Sepanyol melangkah ke saingan seterusnya dan menghantar pasukan Jerman itu pulang.

Bagaimanapun Jerman Barat membalas dendam empat tahun kemudian di tanah air sendiri apabila pasukan itu diundi dalam kumpulan dengan Itali dan Denmark dan sekali lagi mereka bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika Jerman mengungguli carta.

Sepanyol memerlukan kemenangan untuk mara, tetapi di Munich mereka bukan tandingan untuk tuan rumah dan pasukan Franz Beckenbauer memperoleh kemenangan selesa 2-0 hasil jaringan daripada Rudi Voeller.

Jerman bagaimanapun gagal memenangi kejuaraan apabila tewas kepada Belanda di separuh akhir dan Sepanyol serta Jerman tidak bertemu lagi pada kejohanan itu sehingga Euro 2008 di Austria dan Switzerland.

Sepanyol sudah memenangi satu gelaran, apabila mereka menjadi tuan rumah pada tahun 1964, manakala Jerman sudah menang tiga kali dan mereka bertembung di final buat kali pertama.

Fernando Torres menjaringkan gol tunggal ketika Sepanyol merangkul gelaran kedua mereka, kemenangan pertama mereka di kejohanan utama selepas lebih 40 tahun dan bermulanya semula dominasi Sepanyol dalam arena bola sepak.

Mereka menjadi pasukan pertama yang mengekalkan Kejohanan Eropah empat tahun kemudian dan memenangi trofi Piala Dunia pertama mereka pada 2010, menewaskan Jerman di separuh akhir.

Perlawanan pada Sabtu ini umpama aksi final dengan Sepanyol boleh dikatakan pasukan paling menarik pada edisi kali ini apabila muncul satu-satunya pasukan memenangi semua empat perlawanan setakat ini.

Manakala tuan rumah, Jerman mempamer aksi mengagumkan berbanding pasukan lain yang menyerlah sebelum bermulanya kejohanan.

Pemenang akan berada di landasan yang baik untuk merebut mahkota kejuaraan kali keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:08 PM