KEADAAN kereta suspek dan polis selepas terbabas dalam parit, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta suspek dan polis selepas terbabas dalam parit, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Alias Abd Rani

Muar: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam parit ketika cuba melarikan diri daripada dikejar sebuah kereta peronda, berhampiran Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 4 pagi, dua anggota polis turut parah selepas kereta peronda dinaikinya terbabas ke dalam parit sama, dengan kedua-duanya kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kemalangan berlaku apabila kereta dipandu suspek cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Beliau berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis berusia 40 dan 41 tahun dari cawangan kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan dan menahan suspek di pekan Parit Jawa, bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun, suspek melarikan diri dengan memecut kereta jenis Toyota Vios ke arah Parit Jamil. Pada masa sama, polis turut membunyikan siren amaran agar suspek memberhentikan kenderaan sebaliknya dia enggan dan terus memecut.

"Ketika usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan polis dan suspek terbabas dan memasuki parit sama.

"Selepas kemalangan itu, kereta dipandu suspek terbakar menyebabkannya rentung. Dua anggota polis pula parah dan dikejarkan ke HPSF untuk rawatan," katanya dalam kenyataan.

Raiz Mukhliz berkata, mayat suspek dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat serta menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identitinya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Orang ramai melihat kejadian itu atau mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 6:47 PM