GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Tindakan berterusan sentiasa diambil bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan rel negara termasuk Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Menjawab teguran yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menegaskan pihaknya sebelum ini sudah menetapkan indeks prestasi utama (KPI) kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

"Itu adalah kelemahan yang sedang kita tangani dari segi kekerapan, jumlah penumpang, semua isu sudah saya nyatakan dari semasa ke semasa, bukan hanya kerana LKAN.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami sudah menetapkan sistem KPI kepada Prasarana mengenai Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) untuk mengurangkan kegagalan selain memastikan perkhidmatan MRT dan LRT lebih cekap," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan di sini, hari ini.

LKAN 2/2024 yang diterbitkan hari ini melaporkan prestasi jumlah penumpang harian dan bilangan tren beroperasi serta kekerapan perkhidmatan waktu puncak masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dalam skim MRT 1 dan 2.

Menurut laporan itu juga, Akaun Muktamad MRT1 masih belum ditutup walaupun projek sudah siap serta beroperasi sepenuhnya sejak tahun 2017.

Menurut laporan itu lagi, kedudukan MRT Corp kurang stabil dan bergantung kepada penerimaan sumbangan kerajaan bagi membina infrastruktur rel.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihaknya sentiasa memastikan perkhidmatan tren dipertingkatkan supaya dapat menampung keperluan penumpang.

"Ketika ini, kita sudah memberi perkhidmatan kepada hampir sejuta penumpang setiap hari membabitkan sistem MRT, LRT serta monorel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 8:22 PM