STERLING anggap De Bruyne bawa perubahan besar buat City.
STERLING anggap De Bruyne bawa perubahan besar buat City.

Raheem Sterling menganggap Kevin De Bruyne mempunyai kelebihan tersendiri untuk Manchester City seperti apa yang dibawa bekas rakan sepasukannya, Luis Suarez kepada Liverpool.

De Bruyne, yang menyertai City dari Wolfsburg pada harga £54 juta (RM340.6 juta) menjaringkan dua gol dalam aksi suku akhir Piala Liga kelmarin yang menyaksikan mereka menewaskan Hull City untuk mengumpul sembilan gol dalam 18 perlawanan.

Bekas pemain Chelsea itu turut membantu enam jaringan buat kelab barunya.

Sterling yang dibawa masuk ke City pada Julai dengan harga £49 juta (RM309 juta) percaya sumbangan keseluruhan De Bruyne terhadap serangan City menyamai Suarez yang menyumbang 82 gol dan membantu 53 jaringan dalam 133 perlawanan bersama Liverpool sebelum menyertai Barcelona pada harga £75 juta (RM472.9 juta) tahun lalu.

“Ya sudah tentu,” kata pemain England itu.

“Setiap pasukan mahukan pemain yang menjaringkan gol dan membantu jaringan dengan kerap seperti Kevin. Itulah yang dilakukan pemain hebat dan kami gembira dengan kehadirannya ke kelab ini.

“Bersama Suarez, sebaik dia masuk ke kawasan lawan, anda tahu apa yang mampu dilakukannya. Biasanya ia berakhir dengan gol.

“Perkara sama juga boleh dikaitkan dengan Kevin. Dia mencari pemain lain. Lihat saja berapa banyak bantuan jaringan yang dilakukannya dan dia juga turut menjaringkan gol.

“Sejujurnya, saya jarang melihatnya di Chelsea. Tidak ramai yang melihatnya. Namun jika anda melihat jumlah gol yang dijaringkannya di Jerman, jelas sekali dia mempunyai kualiti.

“Bermain dengan kerap dan menyumbang kepada pasukan adalah ujian bagi mereka yang datang ke England tetapi lihat apa yang dilakukannya. Pujian harus diberikan kepadanya, dia sungguh luar biasa.

“Saya gemar bekerjasama dengannya setiap hari dan kami serasi. Kami datang pada musim panas yang sama dan seronok mempunyai seseorang seperti itu di dalam skuad.

“Dia seorang yang lucu, pendiam, mudah mesra dengan sesiapa pun dalam pasukan ini.”

Hakikat pasukan itu mempunyai ‘limpahan’ pe­nyerang untuk digunakan pengurus Manuel Pellegrini terserlah apabila City mara ke suku akhir dengan kemenangan 4-1 ke atas Hull.

Tanpa kehadiran Sergio Aguero, Wilfried Bony dan Kelechi Iheanacho menyumbang jaringan pada perlawanan itu manakala David Silva membuat penampilan pertama dalam tempoh dua bulan selepas mengalami kecederaan buku lali.

Sterling yang diturunkan sebagai pengganti Jesus Navas pada separuh masa kedua berkata: “Kami adalah pasukan yang bagus. Kami boleh mengubah keseluruhan 11 pemain dan masih menjadi pasukan terbaik.

“Pemain di dalam skuad ini mampu diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam mana-mana perlawanan dan jika pengurus menurunkan mereka saya pasti segalanya akan beres.

“Saya berada di bangku simpanan. Jelas sekali semua orang mahu bermain dalam setiap perlawanan tetapi pada peringkat ini semua itu tidak boleh berlaku.

“Ada kalanya anda perlu digilirkan dan itulah yang berlaku. Sebaik diturunkan, saya cuba menyumbang sebaik mungkin.

“Saya gembira berada dalam pasukan ini dan bermain dengan pemain seperti ini. Ia boleh membantu saya meningkatkan mutu permainan.

“Saya harap pada masa depan, banyak yang boleh dipelajari daripada mereka.”

Sterling menjaringkan enam gol dalam 19 perlawanan bersama City dan berpuas hati dengan sumbangan yang dilakukannya sejak meninggalkan Liverpool.

“Saya rasa sudah melakukan yang terbaik. Mung­kin tidak mencapai tahap 9/10 atau 10/10 dalam setiap perlawanan tetapi selagi saya membantu pasukan ini menang, itu yang paling penting.

“Saya sentiasa bertekad mengatasi jaringan saya musim lalu dan semakin menghampirinya. Saya menjaringkan 11 gol tahun lalu dan jika mampu mengatasi­nya, saya pasti gembira.

“Saya sukakan suasana tenang di sini. Saya tinggal jauh dari pusat bandar dan seronok dapat menenangkan perasaan, bekerja dan mencapai apa yang saya mahukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:56 AM