RAHEEM STERLING
RAHEEM STERLING
Agensi

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyuarakan rasa kagum terhadap Raheem Sterling yang mengetepikan serangan berbaur perkauman ke atasnya, sebelum bangkit meledak gol ketika menewaskan Everton 3-1, malam tadi.

Sterling dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua, sejurus Dominic Calvert-Lewin merapatkan defisit buat Everton 1-2.

Pemain England itu mencetus impak yang pantas apabila menanduk masuk gol hantaran Fernandinho bagi mengukuhkan kelebihan City.

Selepas kekalahan kepada Chelsea minggu lalu, Sterling menjadi subjek utama di akhbar di England susulan tuduhan serangan berbaur perkauman terhadapnya dan Guardiola berkata, pemain berusia 24 tahun itu mendapat sokongan penuh semua pihak di Etihad.

“Saya fikir Raheem Sterling sejak beberapa tahun lalu menangani situasi dan khabar angin terhadap dirinya, keluarga atau warna kulitnya dengan amat tenang,” kata Guardiola.

“Saya mengaguminya dan mengetahui ia bukan sesuatu yang mudah buatnya. Dia disayangi oleh semua staf dan juga di bilik persalinan.”

Selain Sterling, Guardiola turut memuji penyerangnya, Gabriel Jesus yang menamatkan kemarau jaringan di pentas Liga Perdana sejak Ogos lalu, apabila meledak gol pembukaan City di Etihad.

Bekas pengurus Bayern Munich dan Barcelona itu turut menekankan kepentingan kehadiran semula beberapa tonggaknya pada perlawanan berkenaan, antaranya penyerang Sergio Aguero dan perancang berkualiti, Kevin De Bruyne.

“Kami memerlukan semua orang,” kata Guardiola. “Danilo dan Aguero akan diturunkan pada perlawanan berikutnya. Sterling juga layak diturunkan selepas prestasinya menentang Hoffenheim. Tetapi sudah tentu, kami boleh meningkat dan melakukan lebih baik.

“Jesus juga amat penting. Penyerang perlu menjaringkan gol. Perbezaannya hari ini adalah dia menjaringkan gol dan dia berada di posisi yang lebih baik. Ia sesuatu yang bagus untuknya dan juga pasukan. Prestasinya amat bernilai.’

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 12:55 PM