STERLING (kanan) meraikan jaringan pertamanya. FOTO AFP
STERLING (kanan) meraikan jaringan pertamanya. FOTO AFP
AFP

RAHEEM Sterling menjaringkan dua gol ketika Manchester City membelasah Watford 4-0 hari ini sekali gus menyaksikan Hornets terus terancam di zon penyingkiran.

Watford muncul pasukan pertama Liga Perdana Inggeris yang memecat tiga pengurus dalam tempoh semusim dengan terbaharu Nigel Pearson meninggalkan pasukan itu Ahad lalu, namun pertukaran pengurus tidak memberi perubahan besar dengan City bangkit daripada kekalahan di tangan Arsenal pada separuh akhir Piala FA.

City membelasah Watford 8-0 pada awal musim ini dan kemudian 6-0 pada final Piala FA musim lalu sekali gus Watford dilihat sukar untuk mengalang kemaraan pasukan pelawat.

Hayden Mullins mengambil alih tugas buat sementara untuk kali kedua musim ini dengan taktikal bertahan dan kurang melakukan serangan di gawang City.

Sterling meledak gol pertama selepas menerima hantaran Kyle Walker sebelum merembat deras ke penjuru atas gawang gol lawan minit ke-31.

Sembilan minit kemudian, Sterling dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Will Hughes dan berpeluang mengejar rekod jaringan Jamie Vardy untuk anugerah kasut emas selepas Kevin De Bruyne memberikan tanggungjawab untuk melakukan sepakan penalti kepadanya.

Namun penjaga gol Watford, Ben Foster hampir menyebabkan pemain antarabangsa Belgium itu kecewa dengan keputusannya selepas sepakan penalti Sterling berjaya dinafikan namun pemain antarabangsa England itu berjaya melakukan gerakan susulan untuk gol ke-19 pada saingan Liga Perdana musim ini.

Sterling kemudian menjadi arkitek kepada jaringan gol Phil Foden minit ke-63 sebelum Aymeric Laporte melengkapkan kemenangan City selepas menanduk masuk bola berpunca daripada sepakan percuma De Bruyne tiga minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 7:39 AM