Raheem Sterling. FOTO Reuters
Raheem Sterling. FOTO Reuters
Agensi

RIO Ferdinand melabelkan Raheem Sterling sebagai antara lima pemain terbaik dalam dunia susulan prestasi menakjubkan menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara.

Sterling menyemarakkan suasana Stadium Etihad dengan jaringan hatrik pada minit ke-11 separuh masa kedua ketika City menumpaskan lawan dari Serie A, 5-1 awal pagi ini - penyerang itu turut membantu menghasilkan jaringan kedua-dua gol Sergio Aguero pada separuh masa.

Selepas perlawanan itu, bekas pertahanan United, Ferdinand tidak dapat menggambarkan peningkatan yang ditunjukkan Sterling di bawah bimbingan Pep Guardiola malah mengakui dia antara pemain terbaik dalam Liga Perdana ketika ini.

“Memang dia berada dalam kelompok lima pemain terbaik dalam dunia ketika ini,” kata Ferdinand kepada BT Sport.

“Saya tidak kisah siapa yang anda ingin sebutkan, lima pemain terbaik berkenaan - dia mesti berada dalam senarai itu.

“Kerana jumlah gol yang diperolehi, impak yang diberikan dalam permainan. Adalah mustahil untuk mengetepikannya.”

Ditanya sama ada pemain itu adalah pemain terbaik dalam Liga Perdana Inggeris, Ferdinand membalas: “Saya pasti kata ya. Saya suka semuanya mengenai dia.”

Sterling berada dalam 30 lelaki yang disenarai pendek untuk Ballon d'Or pada Isnin - Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Virgil Van Dijk adalah pilihan untuk anugerah itu, secara tidak langsung dia berada dalam senarai pemain terbaik di dunia.

Sterling berusia 24 tahun, yang menjaringkan 37 gol buat Manchester City sejak awal musim lalu, beraksi cemerlang di bawah bimbingan jurulatih kini Pep Guardiola, sejak warga Sepanyol itu menyertai kelab berkenaan pada musim panas 2016.

“Apa yang saya suka mengenainya adalah, dia cepat belajar,” jelas Ferdinand. “Kadangkala kamu bertuah kerana diberikan pengurus yang berjaya memberi tunjuk ajar.

“Saya fikir Pep Guardiola datang tepat pada masanya untuk melatih pemain muda, yang mempunyai potensi besar dan dia harus mempunyai sikap yang bagus dan mempunyai sasaran masa depan.

“Jika anda lihat aksi permainan seperti Coutinho, Hazard, mereka tidak menjaringkan jumlah gol yang banyak seperti pemain ini. Setiap perlawanan. Kekuatannya, kelebihan, daya tahan dari segi serangan dan kekal cergas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 8:42 PM