DR Mahathir (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama, Muhd Ismail Ibrahim sambil diperhatikan Abdul Harith.
DR Mahathir (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama, Muhd Ismail Ibrahim sambil diperhatikan Abdul Harith.

Shah Alam: Proton Holdings Berhad (Proton) optimis mampu kembali mencapai tahap dan prestasi perniagaan lebih baik tahun depan melalui pengenalan produk baru dan strategi tepat untuk bersaing di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, pihaknya membangunkan tiga model baru dan bakal dikeluarkan seawal suku pertama seperti model Perdana baru, Persona Baru dan Saga Baru selain merancang pengeluaran model baru dengan kerjasama Suzuki.

Beliau berkata, syarikat memiliki banyak model kereta baru untuk diperkenalkan pada tahun depan bagi memastikan Proton mencapai tahap baru dalam daya saing, sekali gus bersedia bersaing di pasaran.

“Ketika ini syarikat mengalami sedikit cabaran dalam perniagaan sepanjang dua setengah tahun lalu namun ia tidak menghalang usaha syarikat dalam bersiap sedia untuk perniagaan tahun depan.

“Untuk kali pertama dalam tempoh itu, kami bekerja keras bagi memastikan syarikat bersedia untuk tahun depan memandangkan ia tahun yang besar bagi kami,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Rekabentuk Proton di sini, semalam.

Beliau berkata, Proton mengeluarkan beberapa model termasuk Proton Iriz pada tahun lalu namun ia masih tidak mencukupi kerana kebanyakan siri model Proton berada di pasaran dalam tempoh masa tertentu dan ia memerlukan penambaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:21 AM