PENULIS sempat melihat gambar muka depan akhbar berpengaruh dunia ketika melawat National Press Club Washington.
PENULIS sempat melihat gambar muka depan akhbar berpengaruh dunia ketika melawat National Press Club Washington.

Kita tidak mampu lagi menjual berita muka depan berita semalam.

Tak ada siapa lagi berminat dengan berita basi.

Itu kesimpulan terpaksa diterima industri akhbar tradisional dalam mengharungi tsunami maklumat tanpa sempadan yang dicetuskan media sosial di era ledakan teknologi.

Dalam sembang santai ketika makan tengah hari di National Press Club Washington semalam dihadiri beberapa editor dan wartawan kanan, mereka mengakui Internet ‘membunuh’ akhbar.

Sekali pun berita disebarkan wartawan netizen yang merujuk mereka yang menulis isu atau perkara tanpa merujuk sumber sahih atau diragui kredibilitinya, tetapi siapa yang peduli.

Begitu panjang lebar dibincangkan dalam tempoh sejam, namun rata-rata mengakui perlu ada model bisnes baru untuk memungkinkan akhbar tradisional terus relevan.

Walaupun kini banyak akhbar beralih kepada berita dalam talian, namun pendapatan pengiklanan masih belum besar atau menyamai apa yang dibayar dalam akhbar.

Bagi pemain industri akhbar di Amerika Syarikat, mereka kini merancang strategi memastikan sumber pendapatan melalui iklan digital dalam berita dalam talian diwakili mereka mampu mengaut keuntungan daripadanya.

Namun ia berbeza dengan wakil dari India yang memaklumkan akhbar terbitan syarikat mereka terus meningkat jualan.

Akhbar berbahasa Inggeris syarikat itu terjual hampir 14 juta naskhah di seluruh India setiap hari.

Malah, menurut peserta itu berita dalam talian syarikat juga berkembang.

“Di India saja ada lebih 70 bahasa suku kaum. Jika ada mahu menerbitkan atau menterjemah berita dalam sesuatu bahasa, ia pasti mengambil masa lama. Sebab itu, akhbar bahasa Inggeris kami terus kukuh,” katanya.

Mungkin ada kebenaran dalam konteks India, tetapi di Malaysia, industri akhbar kita perlu ada strategi perniagaan baru untuk terus kekal dan bersaing di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:00 AM