ROSLAN Abdullah
ROSLAN Abdullah

Kuala Lumpur: Jumlah jualan Proton pada Januari menurun kepada 4,453 unit (untuk jualan domestik dan eksport), pengurangan 25.3 peratus daripada bulan sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik 11.3 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, penurunan itu berpunca daripada kesan banjir teruk di Selangor pada penghujung 2021 lalu.

"Walaupun kilang pengeluaran Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada Disember, vendor syarikat tidak bernasib baik. Ramai yang mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas oleh peningkatan air banjir.

"Ini memberi kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari, yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Keadaan ini ditambah lagi dengan lebihan stok minimum dari bulan sebelumnya kerana syarikat berusaha merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

"Namun, Proton yakin dapat mencapai sasaran kami untuk 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara semua model, Proton X50 dan Proton X70 adalah model pertama memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam jumlah jualan Januari.

Sebanyak 2,601 unit Proton X50 dan 799 unit Proton X70 dijual bulan lalu dan walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan Proton sebagai jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) nombor satu di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 8:39 AM