DR Mahathir melancarkan logo ulang tahun proton ke-30 disaksikan Abdul Harith.
DR Mahathir melancarkan logo ulang tahun proton ke-30 disaksikan Abdul Harith.
Oleh Erywan Norshal

Subang Jaya: PROTON Holdings Bhd (PROTON) akan melancarkan tiga model terbaru tahun depan membabitkan model Saga, Persona dan Perdana.

Penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketiga-tiga model itu tampil dengan gaya baru dan teknologi terkini yang akan dilancarkan secara berperingkat bermula Januari tahun depan.

“Dalam menghasilkan jentera ini, kami menggunakan platform daripada Honda, tetapi selebihnya diusahakan sendiri jurutera PROTON.

“Ketiga-tiga model ini hadir dengan bentuk moden mengikut aliran gaya terkini, selain dilengkapi sistem elektronik yang memudahkan pemanduan dan ciri keselamatan,” katanya selepas majlis berbuka puasa dan pelancaran logo 30 tahun Proton di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah.

Mengenai kerjasama antara Suzuki, beliau berkata, pihaknya melihat beberapa model sesuai bagi membina kenderaan baru yang berkemungkinan menggunakan rangkaian kuasa enjin daripada Suzuki.

Pada majlis sama, PROTON menawarkan penjimatan istimewa kepada pelanggan sempena meraikan ulang tahun ke-30 syarikat automotif nasional itu.

Abdul Harith berkata, tahun ini sangat istimewa sebagai pengeluar automotif nasional yang menyumbang kepada pembangunan komuniti dan industri automotif negara sejak model pertama Proton Saga diperkenalkan.

“Tahun ini, kita menyaksikan empat juta kereta dikeluarkan. Kini, kami perlu menghasilkan produk terbaik, selamat dan mampu milik,” katanya bagi meraikan ulang tahun ke-30, PROTON menawarkan rebat RM3,000 bagi pembelian semua model Proton baru bagi pelanggan yang berumur 30 tahun, tahun ini.

Beliau berkata, logo ulang tahun ke-30 itu akan digunakan untuk pengiklanan dan produk termasuk korporat, label dipaparkan di bilik pameran, jualan serta acara pemasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 6:54 AM