DR Mahathir  (tengah) bersama Mustapa  (kanan) dan  Osamu selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman di Shah Alam, semalam.
DR Mahathir (tengah) bersama Mustapa (kanan) dan Osamu selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman di Shah Alam, semalam.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Shah Alam: Proton Holdings Berhad (PROTON), DRB Hicom Berhad (Hicom) dan Suzuki Motor Corporation (Suzuki) dari Jepun, semalam menandatangani perjanjian persefahaman dan lesen untuk membentuk kerjasama serta perkongsian strategik jangka panjang bagi meneroka segmen kereta kompak.

Kerjasama yang memberi fokus kepada produk, teknologi, individu dan pasaran itu bakal menyaksikan PROTON memiliki akses kepada model, platform dan teknologi automotif daripada Suzuki.

Pengerusi PROTON Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerjasama itu dijalinkan berdasarkan pencapaian Suzuki yang memiliki kepakaran dalam menghasilkan teknologi untuk kereta kompak serta kecil terutama bagi segmen A dan B.

“Kami berpendapat terdapat keperluan untuk menjalinkan kerjasama dengan Suzuki kerana ia adalah salah sebuah syarikat automotif yang berjaya terutama di negara membangun dengan jualan sebanyak tiga juta unit secara tahunan,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian itu di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suzuki Osamu Suzuki.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya tidak memperincikan sebarang bentuk kerjasama, namun menegaskan PROTON menimbangkan pelbagai kemungkinan termasuk menjalinkan usahasama atau membeli sejumlah perkongsian bersama Suzuki.

Menurutnya, kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pengurangan kos kenderaan PROTON, selain menegaskan ia lebih kepada pembabitan dalam segmen kenderaan kompak dan kecil daripada Suzuki.

“PROTON perlu mengambil masa panjang untuk memuktamadkan bentuk kerjasama bagi memastikan tiada sebarang pertindihan berlaku kepada pihak PROTON sendiri termasuk dari aspek persaingan dengan model PROTON sedia ada.

“Kami akan meninjau dengan teliti segala potensi yang boleh diterokai melalui kerjasama ini dan berharap dapat memuktamadkan semua bentuk kerjasama menjelang 2016,” katanya.

Ketika mengulas penghasilan model kereta kompak baru melalui kerjasama ini, Dr Mahathir berkata, PROTON mungkin mengambil salah satu model Suzuki untuk diubah suai dan kemudian diberi penampilan berbeza.

“Selepas itu, kami mungkin akan bekerjasama dalam membangunkan beberapa model dengan kepakaran daripada Suzuki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:43 PM