Apa saja yang berlaku kepada pelakon Rozita Che Wan pasti jadi berita hangat. Hingga satu tahap, kehidupan pelakon ini dilihat serba tidak kena apabila apa saja dilakukannya serba tidak kena di mata sesetengah orang.

Kalau dulu dia sering dikaitkan dengan golongan VIP, semua itu berakhir apabila Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta memilih pelakon muda, Zain Saidin sebagai suami pada 10 November 2013.

Namun sejak itu apa saja yang berlaku kepadanya menjadi berita panas. Daripada majlis berinai yang mewah, gambar praperkahwinan di beberapa lokasi hinggalah majlis pernikahan berlangsung dengan meriah dan mendapat tajaan banyak pihak hingga mencecah RM13 juta, semuanya menjadi bualan dan berita hangat.

Apabila Che Ta mengandung, berita mendapat tajaan daripada hospital swasta menjadi tajuk utama dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Bukan hanya tindakan hospital itu dipersoalkan menaja orang popular dan kaya seperti Che Ta, malah Che Ta juga dipersalahkan. Hakikatnya, bukan Che Ta yang mahu tetapi kalau ditawarkan, mengapa harus menolak.

Hakikatnya, sebelum itu dua artis yang menjayakan satu program terbitan Astro, Betty Banafe dan Nana Mahazan juga mendapat tajaan hospital sama ketika melahirkan kerana ia bakal dipaparkan dalam program mereka.

Bagaimanapun, tiada siapa memperkatakan mengenainya tetapi apabila tiba pada Che Ta, segala-galanya serba tidak kena.

Kini ketika Che Ta dan Zain harus bergembira menyambut kelahiran anak perempuan mereka pada 1 November lalu, sekali lagi insan bernama Che Ta harus berdepan lontaran kata-kata ibarat kisah dongeng serangan ikan todak melanda Singapura.

Apabila wajah comel anak mereka disiarkan H-Live yang mendapat hak eksklusif menyiarkan gambar anak Che Ta, tentu semua orang turut tumpang gembira melihat bayi comel Che Ta.

Namun, ada pula manusia yang sentiasa mencari alasan untuk menyakitkan hatinya. Penampilan Che Ta tetap jelita menjadi bualan hingga tindakannya bersolek sebelum ke hospital jadi pertikaian.

Serba tidak kena Che Ta pada mereka. Hakikatnya, Che Ta tidak mengganggu hidup mereka tetapi mengapa ada saja yang sentiasa tidak puas hati dengannya?

Memang wujud manusia yang sentiasa tidak pernah puas hati dengan apa saja yang dilihatnya. Kalau cantik pun dikutuk, apatah lagi kalau tidak cantik.

Itulah harga yang harus dibayar Che Ta. Dia cantik dan popular hingga ramai pihak mahu menumpang popularitinya dengan menawarkan tajaan itu dan ini.

Sudahlah cantik, popular dan dilimpahi kemewahan, kini Che Ta bahagia dengan kehadiran suami kacak dan anak comel. Semua ini membuatkan ada yang sakit hati hingga apa saja dilakukan Che Ta serba tidak kena pada mata mereka.

Semoga Che Ta tabah dan muhasabah diri. Jika tidak sanggup terima semua itu, pilihan yang ada ialah tinggalkan dunia glamor ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:02 AM