CHE Ta bersama Aaisyah.
CHE Ta bersama Aaisyah.
OZLYU dan anaknya Chantiq.
OZLYU dan anaknya Chantiq.
DIDIE dan anak.
DIDIE dan anak.
KELUARGA bahagia Liyana
KELUARGA bahagia Liyana
FASHA Sandha bahagia di samping suami dan dua anak.
FASHA Sandha bahagia di samping suami dan dua anak.
Oleh Shakilawati Abd Rahman

Selain berita perkahwinan dan kes cerai, kehadiran cahaya mata penyeri rumah tangga artis turut mendapat perhatian.

Sepanjang 2014, ramai artis menyambut kehadiran orang baru dan berkongsi detik bahagia itu bersama peminat melalui laman sosial Facebook (FB) dan Instagram.

Paling mendapat perhatian tentu Rozita Che Wan atau Che Ta. Sejak disahkan mengandung hasil perkahwinan dengan Zain Saidin hinggalah kelahiran bayi comelnya, Aaisyah Dhia Rania pada 1 November lalu.

Bayi dilahirkan secara normal di Hospital Pakar Ampang Puteri itu adalah zuriat pertama Che Ta dan Zain, tetapi yang ketiga buat Che Ta. Mewarisi kecantikan ibu bapanya, ramai mengiktiraf Aai­syah sebagai bayi selebriti paling comel tahun ini.

Di sebalik kebahagiaan itu, Che Ta berdepan beberapa isu sejak berita kehamilannya diketahui umum. Satu demi satu dibangkitkan dan kemuncaknya tajaan pakej bersalin kelas pertama serta rawatan susulan oleh Hospital Pakar Ampang Puteri.

Bahkan peluang diberi Che Ta kepada orang ramai untuk menamakan anaknya turut dipersendakan, begitu juga isu remeh bersolek ketika bersalin turut menjadi perdebatan antara pembenci dan peminatnya.

Apapun, Aaisyah mewarisi aura Che Ta dan berdasarkan perhatian luar biasa diterima, tidak mustahil setiap perkembangannya akan terus jadi bualan ramai.

Lara Alana yang dilahirkan pada 22 Julai lalu dengan berat 3.1 kilogram turut menerima tempias populariti ayah bondanya, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Awal kelahiran, ramai tidak sabar-sabar mahu menatap wajah si comel, namun hampa apabila Awal dan Scha memutuskan hanya mendedahkan wajah anak mereka selepas tempoh berpantang.

Setiap gambar dikongsi menerusi laman sosial pasangan ini tidak menampakkan wajah Lara. Ramai mengkritik tindakan Awal dan Scha, namun ada juga mengerti serta menghormati pendirian pasangan ini.

Isu itu reda apabila foto penuh Lara akhirnya dimuat naik dalam Instagram pasangan selebriti terkenal ini. Tidak terhenti di situ, nama dipilih turut dibangkitkan segelintir individu, malah tindakan Scha dan Awal membuka akaun Instagram Lara sebagai jurnal yang menyingkap perkembangan terbaru anak sulung mereka juga menjadi perbahasan panas.

Apabila nama Lara turut diheret sama, Scha dan Awal bangkit menyelar kutukan serta kritikan golongan berfikiran sempit itu.

Tidak ketinggalan, berita Fasha Sandha selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Putri Raysha Jemaima di Pusat Perubatan Prince Court pada 7 November lalu, turut menjadi tumpuan umum.

Mewarisi kecantikan ibunya, Putri Raysha anak kedua hasil perkahwinan Fasha dan Rizal Ash­ram Ramli. Sebelum ini mereka dikurniakan anak lelaki, Putra Rayfal yang dilahirkan secara pembedahan pada 23 April 2013.

Turut menyambut kehadiran bayi perempuan ialah pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay, 25. Zuriat sulungnya bersama Fathuddin Mazlan itu dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Prince Court pada 12 Mei, jam 7.40 malam. Bayi seberat 2.9 kilogram itu diperkenalkan sebagai Sofia Arissa.

Perkhabaran Didie Alias hamil mendapat liputan luas media kerana usianya menjangkau 40 tahun ketika itu. Ternyata kelahiran anak lelaki, Muhammad Dayyan pada 27 Jun, jam 3.35 pagi membuktikan pelakon, pengacara dan pelawak itu masih bertenaga, sekali gus memberi inspirasi kepada wanita seusia bahawa usia bukan halangan untuk hamil lagi.

Ini adalah anak keenamnya, tapi anak pertama bersama Norisham Ismail. Kehadiran bayi ini mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2009 itu.

Impian Ashraf Muslim menimang cahaya mata dimakbulkan Ilahi apabila isteri kedua, Wan Sakinah Ahmad Saburi selamat melahirkan bayi perempuan pada 5 April lalu.

Bayi seberat 2.51 kilogram itu dilahirkan secara normal di Pusat Perubatan Tropicana dan diberi nama Sarah Ashraf.

Ramai tumpang gembira melihat gambar dimuat naik Wan Sakinah di Instagram, malah dia menzahirkan perasaan gembira kerana anaknya mempunyai seorang lagi ibu iaitu Dayana, isteri pertama Ashraf.

Turut dimuat naik fotonya bersama Diyana yang turut meraikan kehadiran Sarah dalam keluarga bahagia mereka.

Sementara itu, pelakon Fazreen Rafi menimang cahaya mata sulung, Rizqin Uwais pada 6 Mei lalu. Isterinya melahirkan secara normal di Hospital Ar-Ridzuan Ipoh, Perak.

Anugerah itu sangat bermakna buat Fazreen dan isteri, apatah lagi suri hidupnya pernah dua kali keguguran pada awal perkahwinan mereka.

Pada 18 Julai lalu, pelakon dan pengacara cantik, Irma Hasmie melahirkan anak kedua, Irma Nur Naylie. Kehadiran bayi comel itu melengkapi bahtera yang dibina bersama Redza Syah Azmeer. Sebelum itu pasangan ini dikurniakan anak lelaki diberi nama Redza Syah Irfhan.

April pula mencatat kenangan indah buat Linda Hashim dan Beego apabila menyambut kelahiran zuriat pertama mereka, Jelita Clarissa. Bayi seberat 2.62 kilogram itu dilahirkan pada 24 April, jam 12.20 pagi.

Sebelum itu, Aishah Sinclair melahirkan anak kedua pada 6 April. Pelakon dan pengacara jelita itu memuat naik foto anaknya di Instagram.

Aishah mendirikan rumah tangga dengan Sheikh Abdul Shahnaz pada 2006 dan dikurniakan anak perempuan, Soraya Anna pada 2010.

Daus AF8 turut menyambut kelahiran anak pertama, Delysha Senzela pada 7 April lalu. Bayi seberat 3.41 kilogram itu dilahirkan di Pusat Perubatan Bintulu.

Pelakon Lisdawati dan Fauzi Nawawi dikurniakan zuriat lelaki selepas memperoleh dua anak pevvrempuan. Lisda melahirkan Ahmad Nur Fyrdaus secara normal pada 14 Jun lalu dan foto si comel yang dirakam pada usia enam hari mendapat perhatian peminat pasangan selebriti ini.

Artis lain menimang cahaya mata ialah Noryn Aziz yang menyambut kehadiran Raja Bariq Umar Shah pada 25 Ogos lalu, Lan Kristal (Muhammad-7 Julai), Amar Asyraf (Amar Taufiq-7 Ogos), Shajiri (Nur Keysha Amanda-1 Julai) dan Ozlyn dan Johan Raja Lawak (Nur Latifah Chantiq Hananiah-25 November).

Personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain menyambut kelahiran bayi kembar, Raja Abdul Mateen dan Raja Nour Emaan pada 22 September dan rakannya, Ally Iskandar (Maream Esabel-7 Julai).

Tidak ketinggalan Amyza Aznan, Farah Asyikin, Safura, Rosma AF, Zahid AF dan Sabhi Saddi turut berkongsi kebahagiaan dikurniakan zuriat pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:05 AM