Tidak mungkinlah taikun ter­kenal Donald Trump (gambar) mahu menaiki pesawat biasa ke Lapangan Terbang Prestwick di Glasgow jika kemewahannya mampu memastikan penerbangan peri­badi yang cukup selesa, dilengkapi katil kelamin, ruang rehat yang luas dan bilik air dihiasi marmar.

Trump, 68, baru-baru ini mengumumkan perkongsian antara lapangan terbang itu de­ngan resort Trump Turn­berry miliknya yang membolehkan pengunjung ke lokasi itu menaiki jet mewah milik peribadinya ke Prestwick sebelum dibawa menaiki kereta atau helikopter untuk percutian mereka.

Walaupun perjalanan menaiki pesawat itu tidaklah lama, namun kemewahannya terserlah dan sudah pasti memberikan pengalaman tidak boleh dilupakan.

Ciri-ciri mewahnya termasuk kamar tidur yang mampu menyaingi suite kelas pertama penerbangan lain, televisyen skrin rata 52 inci dan bilik air yang turut dihiasi kepala paip emas.

Satu daripada pesawat berkenaan, Boeing 757 yang dipercayai bernilai sekitar AS$100 juta (RM335 juta).

Trump berkata dia menjangka 'ratusan' kapal terbang akan digunakan untuk membawa pengunjung ke resort padang golf dan hotel berkenaan.

Resort itu dibeli Trump awal tahun ini dengan harga yang tidak didedahkan dan kerja me­ngubahsuai akan siap sepenuhnya pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM