ZAIN bersama Syeikh Ahmad Shazali ketika menandatangani kontrak dengan Hot Perfumes.
ZAIN bersama Syeikh Ahmad Shazali ketika menandatangani kontrak dengan Hot Perfumes.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Sebelum ini, pasangan selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan menerima lamaran Astro Ria untuk merakamkan secara eksklusif momen sebelum dan selepas kelahiran bayi sulung mereka menerusi program realiti Pureen Chak Chak.

Pada masa sama, Rozita, 41, atau mesra dengan panggilan Che Ta pula dilamar sebagai duta produk pelangsingan badan bagi mendapatkan kembali bentuk badan asal selepas melahirkan anak nanti.

Tidak terkecuali, Zain, 30, juga membuktikan dirinya berharga apabila dipilih sebagai model pewangi Hot Perfumes bagi mempromosikan jenama ini kepada masyarakat.

Baginya tawaran ini adalah rezeki anak mereka yang bakal lahir November ini.

"Alhamdulillah, ini rezeki anak kami. Saya pun tak sangka Hot Perfumes nampak kelebihan saya dan menawarkan peluang ini. Perbincangan berlangsung enam bulan dan saya tak tunggu lama untuk bersetuju.

"Saya memang sukakan haruman dan dalam agama Islam sendiri pun kita dituntut untuk menjaga penampilan. Saya juga maklum produk ini keluaran tempatan dan ada sijil halal, jadi perlu menyokongnya.

"Terima kasih buat pengarah syarikat ini, Syeikh Ahmad Shazali Zahidi kerana memilih saya," katanya.

Mengakui rezekinya semakin murah dengan pelbagai tawaran duta dan model produk bersama isterinya, Zain berbesar hati dan menerima baik tawaran yang datang.

"Saya dan Che Ta sudah bergandingan jadi duta jenama produk pakaian dan kopi, manakala saya sendiri jadi jurucakap untuk jenama pakaian sukan. Seboleh mungkin, saya akan cuba memanfaatkan tanggungjawab diberikan sebaiknya dengan menganjurkan program sendiri.

"Ketika belum berlakon, saya adalah jurulatih kecergasan peribadi di pusat kecergasan. Saya dapat tawaran berlakon pun ketika bekerja di situ. Jadi, saya bercadang nak berkongsi ilmu berkenaan kesihatan dengan masyarakat," katanya.

Menurutnya, dia merangka satu program kesihatan yang dibuka kepada semua golongan masyarakat yang berminat dan usaha ini disokong beberapa penaja termasuk Hot Perfumes.

"Sebelum ini saya hanya buat 'work out' untuk diri sendiri. Saya lihat Sharifah Sakinah aktif anjurkan program begini dan terfikir apa salahnya saya mencontohi dia. Perancangan sedang dibuat dan saya bercadang nak anjurkan tiga kali seminggu di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti.

"Cuma, saya kena susun jadual dengan teliti supaya tak bertembung jadual berlakon. Program ini akan dibantu beberapa pengajar kecergasan lain, tapi bayaran yang dikenakan sangat berpatutan," katanya.

Bakal tinggalkan OME!?

Agak mengejutkan apabila pemegang watak Mr Middleton dalam sitkom Oh My English! (OME!) ini membayangkan mahu meninggalkan siri yang melonjakkan popularitinya dalam kalangan peminat termasuk bukan Melayu.

"Saya masih berbincang dengan produksi dan belum ada kata putus. Bukan saya demand atau apa, sebaliknya saya kena buat perubahan dengan buktikan mampu bawa watak lain pula.

"Apapun saya masih terbabit dengan telefilem OME! dan bercadang beralih arah tahun depan. Memang ada tawaran berlakon drama lain sekarang, tapi sukar untuk saya terima kerana terpaksa tukar warna rambut.

"Jadi, saya tetapkan tahun ini bercadang berlakon 'all out' untuk OME! dan tahun depan boleh fokus berlakon dengan produksi lain. Kalau ada pun sitkom ini, saya minta mereka lewatkan penggambaran pada April," katanya.

Menurutnya, dia juga bercadang meneruskan hasrat untuk menghasilkan album yang sudah lama diimpikannya.

"Saya tengah cari modal untuk hasilkan album mini. Kalau boleh saya nak pakej sekali dengan muzik video. Dulu memang dah nak jadi, tapi saya terpaksa agihkan duit untuk kahwin dan sekarang bakal jadi bapa pula.

"Kalau boleh saya nak hasilkan lagu dalam genre rap kerana meminati genre ini. Apatah lagi saya adalah penggemar kumpulan KRU dan Nico suatu ketika dulu," katanya yang akan mengundang artis lain dalam album itu.

Mengulas detik menanti kelahiran anak, Zain mengakui seakan tidak percaya, manakala perasaannya begitu berdebar-debar.

"Perasaan teruja pun ada. Apapun saya akan berada dalam bilik bersalin untuk bagi sokongan moral buat Che Ta. Saya percaya dia akan manjakan anak ini kerana seorang perempuan. Saya juga akan memanjakannya, tapi tetap ada disiplin tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:00 AM