MATA (kanan) mahu United bangkit semula menentang Swansea.
MATA (kanan) mahu United bangkit semula menentang Swansea.

Manchester, United Kingdom: Pemain tengah antarabangsa Sepanyol di Manchester United Juan Mata berkata, sudah sampai masanya mereka bermain lebih baik berbanding sekadar bercakap dan ia perlu dimulakan dengan aksi menentang Swansea malam ini.

Pemain United berusia 28 tahun itu kecewa dengan beberapa keputusan buruk sejak kebelakangan ini termasuk dibelasah 4-0 oleh Chelsea.

United akan bertandang ke Swansea selepas dikritik hebat pengurus Jose Mourinho gara-gara persembahan hambar ketika tewas 2-1 di tangan Fenerbahce.

Mourinho melabel anak buahnya sebagai seolah-olah bermain pada perlawanan persahabatan ketika menentang Fenerbahce.

“Kami perlu membuktikan personaliti terutama ketika keadaan tidak begitu baik dan sedang tewas,” kata Mata.

“Kami harus bermain sebagai satu pasukan dan perlu memulakannya sekarang.

“Kami perlu menunjukkan kepada peminat dan semua orang bahawa kami mahu menang perlawanan dan harus membuktikannya menerusi aksi di padang.

Mata berkata, mereka perlu mengambil kesempatan atas Swansea yang kini menduduki kelompok terbawah liga.

United sedang menduduki tangga kelapan dan ketinggalan lapan mata di belakang pasukan kelompok teratas Manchester City, Arsenal dan Liverpool.

“Saya tidak suka melihat kepada statistik sebelum bermain kerana ia pasti akan berubah selepas permainan,” katanya.

“Kami perlu mengambil serius setiap perlawanan, kami perlu menang aksi di Liga Perdana dan kami perlu mendekatkan diri dengan kelompok teratas.

“Kami perlu melakukannya bermula Ahad ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:07 AM