AFP

Silverstone: Juara GP Austria Andrea Iannone (gambar) dari Itali muncul pelumba terpantas pada sesi latihan semalam menjelang perlumbaan Grand Prix British di Silverstone hari ini.

Dalam cuaca sejuk dan berawan, pendahulu kejuaraan dunia MotoGP Marc Marquez dari Sepanyol berada pada kedudukan kelima, ketinggalan satu tempat di belakang pencabar kejuaraan dunia Jorge Lorenzo.

Maverick Vinales muncul pelumba kedua terpantas di litar sejauh 5.9 kilometer itu bersama pelumba Britain Cal Crutchlow yang menduduki tangga ketiga.

Juara dunia sembilan kali Valentino Rossi dari Itali berada di kedudukan keenam ketika sesi latihan di litar yang sering memberikannya kesukaran.

Marquez turut terjatuh daripada motosikalnya pada sesi pagi namun tidak mengalami kecederaan.

“Paling penting saya berada dalam keadaan bagus dan mempunyai rentak yang baik. Saya gembira dengan semua yang berlaku,” kata pelumba Repsol Honda itu.

Walaupun hujan turun semalam, apabila sesi kelayakan tiba di saat puncak, Rossi berharap cuaca yang lebih baik untuk meningkatkan tunggangannya.

“Semua pelumba sangat pantas di penghujung dan dengan penggunaan tayar lembut, catatan masa saya tidaklah begitu buruk,” katanya.

“Saya masih mampu mencabar dan kita tunggu esok (hari ini) sambil berharap keadaan akan menjadi lebih baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:09 AM