AFP

Phillip Island, Australia: Juara bertahan Marc Marquez bakal memulakan perlumbaan dari petak utama selepas mengatasi Andrea Iannone dengan Valentino Rossi berada di kedudukan ketujuh ketika sesi kelayakan menjelang aksi MotoGP Australia di Phillip Island, hari ini.

Pelumba Repsol Honda itu yang terlepas beberapa perlumbaan gara-gara patah tangan kiri bulan lalu, mencatat masa terpantas satu minit 28.364 saat dan bakal memulakan perlumbaan dari petak utama buat kali kelapan musim ini.

Ia adalah kedudukan petak utama ke-30 baginya sepanjang terbabit dalam MotoGP ketika mahu memenangi aksi di Australia buat kali pertama selepas terbabit kemalangan tahun lalu selain penyertaannya dibatalkan pada 2013.

“Saya rasa semakin sihat dan kuat. Saya agak bergelut sedikit di litar Motegi minggu lalu,” kata Marquez.

“Kami berada di landasan terbaik untuk mencipta sesuatu esok dan kami sedia untuk merebut tempat di podium dan sudah tentu kami mengharapkan kemenangan.

“Begitupun, kita perlu menunggu dan lihat apa yang akan berlaku kerana keadaan di sini tidak sama setiap hari. Ada masanya panas tetapi secara tiba-tiba, awan bertukar mendung.

“Kaedah terbaik ialah untuk mengkaji bagaimana keadaan litar kerana ia penting untuk menghasilkan keputusan baik di sini,” kata Marquez.

Pelumba Ducati dari Itali Iannone mengejutkan peserta lain apabila berada di petak kedua, di depan pelumba Movistar Yamaha Jorge Lorenzo sambil juara dunia Rossi memulakan perlumbaan di barisan ketiga.

Ia adalah permulaan barisan depan buat kali ketiga Iannone musim ini dan dia mencatat (1:28.680) berbanding Lorenzo.

“Adalah penting untuk memulakan perlumbaan dari petak depan kerana Marc dan Jorge pasti bermula dengan baik tetapi aksi sebenar esok pasti berbeza dan saya berharap dapat mencabar kedudukan podium,” kata Iannone.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 7:49 AM