IANNONE (dua dari kiri) memecut pada pusingan akhir MotoGP pada Grand Prix Austria, semalam.
IANNONE (dua dari kiri) memecut pada pusingan akhir MotoGP pada Grand Prix Austria, semalam.
AFP

Spielberg, Austria: Andrea Iannone meraih kejuaraan sulung MotoGP pada Grand Prix Austria semalam, sekali gus memberikan Ducati kemenangan pertama mereka sejak 2010.

Iannone bermula dari petak pertama di Litar Red Bull Ring dan biarpun kehilangan seketika kedudukan pendahulu kepada rakan sepasukan Andrea Dovizioso, dia kembali berada di depan pada peringkat akhir dan terus mempertahan kedudukannya dengan mudah.

Kali terakhir pasukan Ducati meraih kejayaan adalah ketika Casey Stoner memenangi perlumbaan di Australia enam tahun lalu, namun mereka adalah pasukan terpantas sepanjang minggu ini sebaik aksi MotoGP kembali ke Austria buat kali pertama sejak 1997.

“Ia perasaan yang sungguh luar biasa. Emosinya sukar untuk dijelaskan,” kata Iannone, yang tempatnya di Ducati akan digantikan juara dunia Jorge Lorenzo akhir musim ini.

“Kemenangan saya dalam kelas ini bersama Ducati sungguh menakjubkan. Mereka menyokong saya sejak dari mula.

“Saya menamatkan kontrak dengan Ducati pada akhir musim ini tapi ini hadiah terbaik untuk mereka.”

Pelumba Yamaha Lorenzo melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga di belakang Dovizioso untuk merapatkan jurang kedudukan dengan pendahulu kejuaraan Marc Marquez kepada 43 mata.

“Saya fikir Iannone tidak cukup pantas sebelum itu namun kemudiannya dia semakin pantas,” kata Lorenzo.

“Trek ini lebih baik buat mereka (Ducati).”

Iannone dari Itali berjaya mengatasi Valentino Rossi pada aksi kelayakan kelmarin namun kehilangan kedudukan pendahulu kepada juara dunia sembilan kali pada selekoh terakhir pusingan pertama.

Rossi menerima padah kerana kelekaan selama beberapa saat membolehkan Iannone dan Dovizioso mara memintasnya dengan Lorenzo turut memanfaatkan kelebihan untuk berada dalam kelompok tiga teratas.

Pecutan pada pertengahan perlumbaan membolehkan Dovizioso melepasi rakan senegara, namun Iannone, 27, merampas kembali kedudukan pendahulu dengan baki lapan pusingan.

Dari situ dia langsung tidak menoleh ke belakang, menunjukkan penumbuk di udara sebaik menerajui perlumbaan di pusingan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:40 AM