MARQUEZ (kiri) atasi Lorenzo di selekoh terakhir perlumbaan.
MARQUEZ (kiri) atasi Lorenzo di selekoh terakhir perlumbaan.
AFP

Phillip Island, Australia: Penunggang Repsol Honda, Marc Marquez memintas Jorge Lorenzo di selekoh terakhir untuk muncul pemenang perlumbaan MotoGP Australia ketika saingan untuk gelaran juara dunia dilihat semakin sengit di Phillip Island, semalam.

Marquez yang juga juara bertahan dan memulakan perlumbaan di petak utama, mengatasi rakan senegaranya itu dengan kelebihan 0.249 saat untuk merangkul kemenangan kelimanya musim ini dengan pelumba Itali yang mewakili Ducati, Andrea Iannone di tempat ketiga.

Valentino Rossi menamatkan saingan di tangga keempat dan kelebihannya di tangga teratas kategori pelumba kini mengecil kepada 11 mata berbanding rakan sepasukannya di Movistar Yamaha, Lorenzo sambil berbaki dua perlumbaan di Sepang dan Valencia.

Pada awal perlumbaan, Lorenzo dilihat mampu bertahan untuk muncul pemenang tetapi Marquez memintas di selekoh dalam ketika hujung perlumbaan untuk memenangi perlumbaan kelas perdana pertamanya di Phillip Island.

Tahun lalu, Marquez terbabit dengan kemalangan pada pusingan ke-19 walaupun mendahului perlumbaan. Pada perlumbaan 2013, penyertaannya dibatalkan selepas tidak menghiraukan arahan berhenti di hentian pit pada pertengahan aksi.

Marquez berkata, dia berasa kuat dan segar sepanjang perlumbaan tetapi beberapa kali dia dipintas pelumba lain seperti Rossi, Iannone dan Lorenzo hingga pada satu ketika dia ketinggalan agak jauh.

“Andrea dan Valentino memintas saya dan pada pusingan terakhir, saya memecut sedaya upaya. Saya tidak menjangka dapat memintas Jorge dan amat gembira dengan kemenangan ini. Kami pernah berusaha keras dan tidak mendapat keputusan diinginkan tapi kejayaan ini sangat bermakna buat kami.”

Empat pelumba teratas berjaya menghidangkan aksi memikat penonton apabila mereka saling kejar mengejar dan 32,000 penonton di Phillip Island menganggap ia antara perlumbaan terbaik yang pernah disaksikan.

Semua penunggang hanya dipisahkan dengan jurang yang sangat kecil ketika melepasi garisan penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 8:40 AM