Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hujan pada pertengahan aksi hari pertama LPGA Malaysia Sime Darby tidak menjejaskan Alison Lee dari Amerika Syarikat untuk berkongsi kedudukan teratas bersama pemain China Lin Xi Yu di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) semalam.

Alison yang membantu Amerika Syarikat muncul juara Piala Solheim bulan lalu, melakukan enam di bawah par 65 walaupun terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk menghabiskan pukulannya apabila hujan melanda lapangan pada jam 2 petang.

Pelajar Universiti California Los Angeles (UCLA) itu mengakui gembira dengan pencapaiannya itu walaupun tumpuan kejohanan ini terarah kepada pemain nombor satu dunia (Park Inbee) di samping Lydia Ko (2) dan Stacy Lewis (3).

“Saya berasa gembira dengan pencapaian hari ini (semalam) dan kejayaan membantu Amerika Syarikat muncul juara di Piala Solheim menjadi motivasi terbaik buat saya beraksi cemerlang,” katanya dalam sidang media selepas menamatkan aksi semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, amat penting memulakan aksi cemerlang di mana-mana kejohanan, namun dia tetap mengakui keputusan hari terakhir juga harus diambil kira.

“Selepas menjulang Piala Solheim, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di kolej dan berehat panjang sekali gus menyebabkan saya tidak dapat menjalani latihan yang sempurna untuk kejohanan ini.

“Apapun saya gembira dengan keputusan dicatat tetapi banyak perkara boleh berlaku dalam kejohanan seperti ini. Saya mahu tamatkan kejohanan ini dengan catatan baik,” katanya yang membenam tujuh birdie semalam.

Sementara itu, Xi Yu berkata, dia berharap mampu menampilkan aksi cemerlang sama seperti ditampilkan dalam edisi terdahulu.

“Ini penampilan kedua saya di kejohanan ini. Pada tahun lalu saya tidak sihat hingga gagal bermain baik dalam dua pusingan pertama tapi masih dapat menamatkan saingan dengan keputusan agak baik,” katanya yang menamatkan saingan edisi lalu di kedudukan ke-32 dengan catatan 281 pukulan tiga di bawah par.

Rakan senegara Xi Yu, yang juga juara bertahan, Shanshan Feng hanya menamatkan saingan di tempat ketiga bersama bekas pemain nombor satu dunia, Yani Tseng dari Taiwan apabila melakukan lima di bawah par 66.

“Secara keseluruhan saya bermain baik cuma di lubang terakhir bola melantun kerana terkena sesuatu. Catatan lima di bawah par tetap membuatkan saya gembira lantas tidak berasa tertekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:55 AM