DANNY (kanan) ketika melakukan pukulan tee. FOTO/AIZUDDIN SAAD
DANNY (kanan) ketika melakukan pukulan tee. FOTO/AIZUDDIN SAAD

Saiful Affendy Sapran & Farah Azharie

PEMAIN golf berpengalaman negara Danny Chia bermula baik pada pusingan pertama kejohanan golf CIMB Classic apabila mencatat dua bawah par 70 untuk berkongsi kedudukan ke-23 sekali gus muncul pemain terbaik negara.

Danny mengakui perasaan gemuruh pada awal saingan di TPC Kuala Lumpur memberi impak besar kepadanya untuk melakukan catatan lebih baik.

“Saya agak gementar pada awal saingan apabila meraih bogey di lubang pertama dan kedua.

“Saya melakukan pukulan pertama yang baik di kedua-dua lubang itu tapi kemudian gagal mengekalkan aksi konsisten.

“Bagaimanapun saya berjaya memperbaiki prestasi selepas itu. Saya boleh rumuskan aksi sepanjang hari ini agak baik,” katanya.

Selepas aksi hambar dua lubang pertama itu, Danny berjaya melakukan lima birdie di lubang ketiga, 6, 8, 16 dan 18. Satu lagi bogey dilakukan di lubang ke-15.

Jelas Danny, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk cuba meraih keputusan dua bawah par, namun hanya cuba memberikan yang terbaik di setiap lubang.

“Apa saja keputusan saya perlu menerimanya dengan baik.

“Untuk esok saya akan mengekalkan sikap sama iaitu perlu sentiasa bersabar dan lebih tenang terutamanya di awal saingan,” katanya.

Danny berkongsi kedudukan ke-23 bersama 13 pemain lain termasuk juara bertahan Justin Thomas.

Nicholas Fung pula muncul pemain kedua terbaik negara selepas melakukan par 72 untuk berkongsi kedudukan ke-44 bersama 15 pemain lain. Dia sekadar mampu melakukan dua birdie di lubang kelima dan kelapan selain bogey di lubang ketujuh dan 15.

Seorang lagi pemain negara Gavin Kyle Green yang diletakkan selaku sandaran utama pula sekadar menamatkan saingan hari pertama dengan melakukan satu atas par 73.

Keputusan itu menyaksikan Gavin yang ketika ini mendahului kedudukan Order of Merit Jelajah Asia berkongsi kedudukan ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 5:38 PM