BROWN bersama BMW i8 berharga RM1.18 juta  yang dimenangi selepas melakukan hole-in-one.
BROWN bersama BMW i8 berharga RM1.18 juta yang dimenangi selepas melakukan hole-in-one.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Tiga birdie berturut-turut di lubang 1, 2, dan 3 membantu Scott Piercy (gambar) mendahului hari pertama Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) dengan catatan 10 bawah par 62.

Lebih menarik pemain berusia 36 tahun itu mengakui cuaca panas di Kuala Lumpur bukan halangan buatnya kerana dia dilahirkan di Las Vegas, Nevada.

“Saya lebih suka cuaca panas. Saya membesar di Vegas jadi mampu menyesuaikan diri dengan keadaan berbahang di sini,” katanya yang melakukan 10 birdie termasuk di lubang 5, 7, 10, 13, 14, 17 dan 18.

Jelasnya, keputusan diraih itu sesuatu yang sangat baik terutama selepas menampilkan aksi meyakinkan sepanjang berada di lapangan.

“Catatan 62 itu sangat baik untuk saya terutama selepas mengharungi minggu buruk di Terbuka Las Vegas sebelum ini.

“Saya memang kecewa minggu lalu kerana gagal bermain baik di tempat sendiri tapi tetap berada dalam kelompok 25 pemain teratas. Atas sebab itu boleh dikatakan permainan saya masih lagi baik,” katanya semalam.

Ditanya sama ada dia mampu mengumpul 62 pukulan lagi hari ini, Piercy berjanji akan cuba bermain seperti semalam selain mencari peluang melakukan sebanyak mungkin birdie.

Sementara itu, pemain Jepun Hideki Matsuyama menamatkan saingan hari pertama pada kedudukan kedua, ketinggalan tiga pukulan di belakang Piercy dengan catatan tujuh bawah par 65.

“Saya melakukan pukulan dengan baik hari ini. Pada masa sama saya mengakui sangat gembira dapat beraksi dalam keadaan cuaca tidak berangin kerana mudah melakukan pukulan putt.

“Selepas aksi Piala Presiden, saya tidak bermain dengan baik tapi keputusan hari ini (semalam) sangat baik.

“Ini kali ketiga saya bermain di sini. Saya gemar beraksi di KLGCC kerana lapangan ini agak mencabar dan pengalaman bermain di sini sebelum ini banyak membantu saya,” katanya.

Juara bertahan dari Amerika Syarikat, Ryan Moore berkongsi kedudukan kelapan bersama Spencer Levin, Morgan Hoffman, Kevin Na, Matt Jones, Brendan Steele, Branden Grace dan Scott Hend dengan catatan lima bawah par 67.

Turut mencuri tumpuan semalam Scott Brown yang melakukan hole-in-one di lubang 15 (par 3) sejauh 182 meter dan pencapaian itu dianggap bersejarah buat kejohanan ini kerana sejak diperkenalkan pada 2010 tidak ada pemain yang mampu melakukannya.

Kehebatan pukulan Brown itu membolehkannya memenangi kereta BMW model i8 yang bernilai RM1.18 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 7:54 AM