NATASHA selesa dahului dengan kelebihan lapan pukulan.
NATASHA selesa dahului dengan kelebihan lapan pukulan.

PEMAIN wanita kebangsaan, Natasha Andrea Oon mencerahkan peluang merangkul kejuaraan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke-117 selepas mempamer aksi bertenaga dengan melakukan 64 pukulan, 8 di bawah par pada pusingan ketiga di Kelab Golf Sarawak, Kuching hari ini.

Catatan tersebut membolehkan pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengumpul 201 pukulan, 15 di bawah par untuk selesa mendahului dengan kelebihan 8 pukulan di hadapan seorang lagi pemain negara, Putri Alyaa Abdul Ghani yang bermain par.

Natasha yang juga merupakan penuntut di Universiti San Jose , Amerika Syarikat melakukan 9 birdie pada pusingan ketiga, termasuk 6 birdie di 9 lubang terakhir.

“Saya bermain dengan baik hari ini, catatan 15 di bawah par merupakan catatan terbaik peribadi saya untuk 3 pusingan. ‘Putting’ saya sangat bagus dan saya harap ianya akan dapat dikekalkan untuk pusingan akhir” kata pemain berusia 19 tahun itu. Dua lagi pemain Malaysia, Audrey Tan dan Liyanna Durisic pula berkongsi di tangga ketiga dengan catatan par.

Dalam kategori lelaki, pemain Australia, Lawry Flynn bangkit daripada aksi hambar pada pusingan kedua untuk melakukan 65 pukulan, 7 di bawah par pada pusingan ketiga sekali gus melonjak ke kedudukan pendahulu dengan 6 dibawah par keseluruhan.

Dia berkongsi kedudukan bersama pemain Singapura, Low Wee Jin yang turut beraksi baik dengan 69 pukulan untuk mara ke pusingan terakhir esok dengan kelebihan 2 pululan ke atas pemain di kedudukan ketiga, Luis Miguel Castro dari Filipina.

Flynn yang ditemui selepas menamatkan saingan 54 lubang itu berkata sangat gembira dengan permainannya meskipun mencatat 1 bogey pada lubang ketiga.

“Saya tidak sabar untuk bermain bersama Low Wee Jin esok, dan berharap dapat mengekalkan kedudukan ini sekaligus bergelar juara” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Mohamad Anwar Mohd Nor mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Persatuan Golf Malaysia selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan badan induk golf negara yang turut berlangsung di Kelab Golf Sarawak hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 9:56 PM