ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mangsa turun dari tangga kenari. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa mangsa turun dari tangga kenari. FOTO ihsan Bomba
Oleh Nur Syazwana Mansor


Yan: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila tersesat hampir tiga jam ketika mendaki Gunung Jerai dengan menggunakan laluan Tangga Kenari, Titi Hayun, di sini, petang tadi.

Sumber berkata, mangsa berusia 39 tahun berasal dari Kangar dipercayai memulakan pendakian kira-kira 9 pagi melalui tangga berkenaan untuk mencari akar kayu bagi tujuan perubatan.

Menurutnya, sebaik sahaja menemui akar kayu terbabit mangsa meneruskan perjalanan untuk kembali ke tangga terbabit tetapi selepas hampir tiga jam berlegar-legar di kawasan sama tetap gagal menemui jalan pulang.

"Akibat panik, mangsa menghubungi kenalan yang tinggal berdekatan kawasan itu untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Firdaus Bukari ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.49 petang sebelum beliau bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadiaan.

"Kami menemui mangsa pada 4.20 petang berdekatan anak tangga kenari ke-200 lalu dibawa turun menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Hospital Yan untuk diberikan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:40 PM