MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan Polis
Nur Syazwana Mansor

Yan: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) maut digilis treler di Batu 18 jalan Alor Setar-Sungai Petani, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 7.40 malam itu, mangsa, Muhammad Idzhar Shamir Yahabib, 26, berasal dari Kampung Padang Besar Simpang Tiga Sungai Limau Luar meniggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhammad Halim Yatim ketika dihubungi berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian jam 7.45 malam sebelum seorang pegawai penyiasat bersama beberapa anggota bergegas ke lokasi kejadiaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati terdapat seorang mangsa lelaki cedera parah dan disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar sebaik tiba di lokasi terlanggar bahagian belakang kereta.

Katanya, akibat pelanggaran itu, motosikalnya terbalik manakala mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum digilis oleh treler dari arah bertentangan.

"Bagaimanapun,pemandu kereta dan treler terbabit tiada di lokasi kejadian dan dipercayai melarikan diri.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1)APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 2:34 PM