Jenazah Ridwan ditemui oleh pasukan penyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun. FOTO BERNAMA
Jenazah Ridwan ditemui oleh pasukan penyelamat di Pusat Peranginan Titi Hayun. FOTO BERNAMA
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Jasad lelaki yang ditemui di bawah timbunan kayu berhampiran chalet di Titi Hayun hari ini disahkan sebagai mangsa terakhir tragedi kepala air iaitu Ridwan Poniman, 61.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pengecaman jasad itu dilakukan isterinya berdasarkan cincin di jari mangsa.

Beliau berkata, berikutan penemuan mayat keenam ini, tamatlah operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang akibat kejadian kepala air di Gunung Jerai, Rabu lalu.

Katanya, mangsa keenam ditemui lebih satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan dihanyutkan air.

"Sepanjang enam hari ini kita menghadapi kesukaran untuk mencari kesemua mangsa akibat dihanyutkan arus deras dan ditemui di kawasan berlainan sepanjang Titi Hayun ini.

"Operasi SAR tamat pada jam 5 petang hari ini dan kawasan ini ditutup untuk kerja pembersihan dilakukan," katanya ketika ditemui di Titi Hayun, hari ini.

Shahnaz berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam pencarian SAR kali ini iaitu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) dan banyak lagi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut.

"Ini menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia adalah enam orang manakala seorang lagi selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:24 PM