ERRA bersama anaknya, Aleesya.
ERRA bersama anaknya, Aleesya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kemunculan artis yang digelar Primadona Filem Melayu Alaf Baru ini di pelbagai majlis hiburan seringkali mengundang perhatian pelbagai pihak.

Bagaimanapun, kebelakangan ini Erra selesa memperlahankan aktiviti seninya.

Ditemui pada sidang media konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta di Equestarian Park Bukit Kiara baru-baru ini, Erra berkata, jadual seninya kini terisi dengan perkara yang dirasakan perlu.

“Saya masih terbabit dengan rakaman program Primadona dan terbaru akan memulakan penggambaran drama Rumi Dan Jawi arahan Erma Fatima.

“Saya kini lebih selektif kerana perlu tumpukan perhatian terhadap anak yang semakin membesar. Memang ada tawaran daripada pelbagai produksi, tetapi terpaksa saya tolak kerana tidak kena dengan masa.

“Saya tak nak susahkan produksi kerana terpaksa ikut jadual saya dan tak adil pada pelakon lain pula.

“Setiap Ahad hingga Selasa saya habiskan masa dengan Aleesya. Saya juga kena peruntukkan masa sehari untuk rakaman Primadona. Melainkan jika ada watak pembantu yang tak memerlukan saya habiskan banyak masa di lokasi, mungkin saya boleh terima,” katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Shahir, Erra berkata hubungan jarak jauh mereka masih berlangsung seperti biasa.

“Hubungan kami masih OK. Hanya orang yang bercerita kami sudah putus dan macam-macam lagi,” katanya.

Jayakan konsert amal

Erra akan menjayakan konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 31 Oktober ini.

Konsert anjuran Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama Mawlaya Network Sdn Bhd ini turut menampilkan penyanyi Anuar Zain, Akim & The Majistret, Opick, Raihan, Ebiet G Ade, Humood Al Khudeer dan Zain Bikha.

Turut serta ialah pelakon Datin Umie Aida, Remy Ishak dan Ungku Ismail.

Erra terkejut apabila diberitahu perlu berduet dengan Opick sedangkan mengikut perancangan awal, dia hanya diminta berlakon dalam segmen yang ditampilkan.

“Pengarah persembahan, Erma Fatima kata saya perlu berduet dengan Opick menerusi lagu berjudul Maha Melihat. Tak tahu apa akan jadi nanti tapi bagi saya ia bukan satu tekanan.

“Sebagai artis profesional ia bukanlah masalah besar. Saya akan hafal bahagian saya. Selain itu, saya juga menyanyikan lagu solo yang berkonsep ketuhanan juga,” katanya.

Mengulas mengenai Konsert Wings 30 Tahun yang berlangsung di Stadium Merdeka pada malam yang sama, Erra berkata, ia bukanlah satu saingan.

“Kelompok peminatnya berlainan kerana konsert kami lebih kepada keluarga, manakala Wings pula golongan muda.

“Apapun saya tetap mengucapkan selamat berjaya kepada Awie dan rakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 8:55 AM