Oleh Norhadiani Baharom

Khabar angin mengaitkan bintang jelita, Erra Fazira, 39, dengan golongan VIP berpenghujung apabila empunya diri membuat pengakuan bahawa dia sedang mengenali hati budi seorang jejaka.

Erra ketika ditemui kelmarin memaklumkan mengenai hal itu dengan harapan spekulasi mengaitkannya dengan mana-mana VIP akan tamat serta-merta.

Selain menoktah segala persoalan status hubungannya, kata Erra lagi, ia juga dilakukan demi kelangsungan hubungannya yang baru mula berputik dengan jejaka terbabit.

Sedia maklum, bukan satu perkara yang amat mudah baginya membuat pendedahan, apatah lagi umum dan peminat juga tahu bahawa bintang ini pernah melalui keruntuhan rumah tangga dua kali.

"Saya membuat pengakuan ini kerana rimas apabila dikaitkan dengan VIP. Ia bukan saja tidak benar, tetapi membabitkan maruah saya sebagai seorang wanita dan dianggap menggunakan status saya untuk mendampingi golongan berkenaan.

"Sepanjang perhubungan cinta saya yang lalu sebagaimana umum tahu, saya berkawan dengan mereka daripada bidang pekerjaan yang sama.

"Keputusan ini juga untuk menjaga hati pihak di sebelah sana" katanya.

Sebagai wanita, parut kegagalan lampau amat berbekas dalam hati dan sejarah hidupnya.

Justeru, Erra lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan dan menjawab persoalan mengenai hubungan cinta dan lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatinya.

"Dia berstatus bujang dan kami dalam proses awal perkenalan. Maaf saya tidak dapat mendedahkan gerangan dirinya, lainlah kalau kami sudah sampai ke satu fasa yang serius.

"Apa yang boleh saya katakan dalam perhubungan kali ini saya mahukan lelaki yang pengetahuan agama atau keupayaan memimpin rumah tangga itu lebih daripada saya. Selain itu saya mahu dia menjadi lelaki yang boleh saya hormati.

"Soal usia muda atau tidak, bukan penghalang asalkan dia matang dan bertanggungjawab," katanya.

Belum kenalkan dengan anak

Meskipun mula berani menerima dan memulakan hubungan dengan jejaka istimewa itu, menurut Erra, dia masih belum bersedia memperkenalkan anak tunggalnya, Engku Aleesya, 5, dengan jejaka berkenaan.

"Kami baru sangat berkenalan dan belum sampai ke tahap memperkenalkannya kepada keluarga termasuklah anak saya.

"Dalam hubungan yang mula bertunas ini, saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan," katanya.

Pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim pada 2003 dan selepas bercerai pada 2006, Erra bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Engku Emran dan mereka berkahwin pada 25 Oktober 2007.

Perkahwinan itu hanya bertahan tujuh tahun sebelum bercerai pada 17 Februari lalu. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan anak perempuan, Aleesya yang kini berusia lima tahun.

Berganding lagi dengan Awie

Dalam pada itu, bercerita mengenai teater Takhta 3 Ratu yang dipentaskan dari 13 hingga 22 Disember depan di Panggung Sari, Istana Budaya, di mana dia membawa watak Tun Teja, Erra berkata, dia sebelum ini cemburu melihat pelakon lain berpeluang membawa watak serikandi Melayu terkenal itu.

"Saya selalu merasa kenapa saya tidak pernah mendapat peluang untuk melakonkan watak seperti itu. Justeru, apabila Erma Fatima memberi kepercayaan kepada saya untuk memainkan peranan Tun Teja, semestinya saya mahu melakukan yang terbaik.

"Di dalam pementasannya nanti saya berkemungkinan menyanyikan dua lagu termasuk duet bersama Awie yang memegang watak Hang Tuah.

"Selain cabaran melakonkan babak aksi, nyanyian yang berkemungkinan besar berentak asli yang memerlukan gaya nyanyian dan lenggok Melayu, adalah cabaran besar buat saya," katanya.

Berhubung kerjasama dengan Awie selepas Pementasan Teaterikal Suara Kita dan filem Warna Cinta Impian, Erra berkata, kembali bergandingan dengan vokalis kumpulan Wings itu kerana peminat merasakan mereka mempunyai keserasian di atas pentas.

"Kerjasama buat kali ketiga ini atas dasar professional semata-mata. Kami berdua menerima keadaan bahawa dulu tiada jodoh antara kami dan kini lebih selesa bersahabat dan saling menyokong karier masing-masing demi kebaikan industri," katanya.

Meskipun cuma diberi peruntukan tiga minggu menjalani latihan oleh pengarah teater berkenaan, Erma Fatima, Erra berharap dapat memberikan persembahan terbaik.

Teater berkenaan direalisasikan menerusi kerjasama syarikat Erra Fazira Entertainment, Awie Entertainment dan Rumah karya Citra Sdn Bhd.

Turut sama berlakon ialah Soo Wincci, Izreen Azminda, Remy Ishak dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:00 AM