ERRA amat utamakan penjagaan kesihatan kerana makin berusia.
ERRA amat utamakan penjagaan kesihatan kerana makin berusia.
Norhayati Nordin


SEBUT saja nama Erra Fazira, pelakon yang pernah mendapat jolokan 'primadona filem Melayu' ini masih menjadi perhatian ramai berikutan raut wajah yang kekal cantik dan kelihatan muda walaupun sudah berusia 47 tahun.

Ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, Engku Aleesya Engku Emran, 12, ini juga difahamkan cukup aktif dengan aktiviti berbasikal dan bersenam untuk penjagaan kesihatan.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata, dia gembira dengan berita kelonggaran yang dibenarkan kerajaan untuk masyarakat melakukan semula aktiviti riadah.

"Selama berbulan-bulan duduk di rumah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akibat peningkatan kes positif Covid-19 dalam negara sejak Jun lalu, saya memang dah rindu sangat nak aktif semula melakukan aktiviti berbasikal dan bersenam di gimnasium.

"Pada usia sekarang, saya akui sangat mengutamakan penjagaan kesihatan diri selain pemakanan harian. Malah, saya memang suka aktiviti berbasikal, tapi disebabkan PKP tak boleh buat apa-apa dan berehat di rumah saja.

"Tak dinafikan, terasa juga berat badan saya ini makin naik dan muka pun 'bulat' kerana asyik makan, tapi kurang bersenam. Sekarang, bila kerajaan dah bagi kelonggaran kebenaran untuk melakukan aktiviti, saya tak lepaskan peluang," katanya.

Erra berkata, dia sudah aktif berbasikal semula termasuk bersenam bagi meningkatkan stamina dan tahap kesihatan diri yang baik.

Katanya, sekarang tiba masa untuk merancakkan semula aktiviti kegemaran.

Kata wanita asal Rawang, Selangor ini, bersenam baik untuk kesihatan apatah lagi jika semakin berusia. Bahkan, aktiviti berbasikal baginya cukup memberi ketenangan sepanjang berkayuh dengan melihat pemandangan alam ciptaan Allah yang indah.

ERRA bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya.
ERRA bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya.

Berbicara mengenai siri Gerak Khas Undercover, Erra berkata, dia melakonkan watak sebagai Deputi Superintendan (DSP) Jeslina yang banyak bertugas di pejabat.

Katanya, ia cabaran baharu sebab penggambaran babaknya hanya di pejabat.

"Dalam drama kali ini, saya tidak terbabit dengan penggambaran di lapangan membuat 'undercover' sebagaimana pelakon lain yang menjadi anggota polis. Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada penerbit, Skop Productions kerana masih kekalkan saya.

"Terbabit membintangi siri ini sangat bermakna buat saya kerana jenama Gerak Khas sangat dikenali ramai. Malah, ada penonton yang mungkin membesar dengan siri drama ini. Saya pun masih muda sangat ketika Skop Productions menerbitkannya dulu," katanya.

Erra berkata, dia juga selesa terus bekerjasama dengan Skop Productions dan sukar untuk menolak tawaran daripada pemiliknya, Datuk Yusof Haslam. Apatah lagi, karya dihasilkan syarikat produksi itu memang terbaik.

AKTIVITI berbasikal kini menjadi minat Erra.
AKTIVITI berbasikal kini menjadi minat Erra.

Gerak Khas Undercover sudah pun menemui penonton di TV3 mulai 1 Oktober lalu, jam 10.30 malam. Siri drama terbaharu ini mempunyai 30 episod.

Gerak Khas Undercover yang sarat dengan kisah penyiasatan menarik yang disuntik 'nafas baharu' terutama membabitkan kisah penjenayah, Tony Bono lakonan Datuk Rosyam Nor yang dihasilkan lapan episod.

Selain Erra dan Rosyam, ia turut dibintangi antaranya Datuk Aaron Aziz, Salina Saibi, Raja Afiq, M Kumaresan dan Farid Amirul.

Sokong minat Aleesya

Bergelar anak kepada selebriti popular dan dikenali, semestinya tidak terlepas juga daripada menjadi perhatian masyarakat. Begitu jugalah dengan Engku Aleesya atau mesra disapa Aleesya.

Walaupun hingga kini Erra masih tidak mendedahkan anaknya itu dengan kerjaya seni, namun dia tidak akan menghalang apa saja minat kerjaya ingin diceburi Aleesya apabila dewasa nanti termasuk sebagai artis.

"Sebagai ibu moden yang berkerjaya, saya sejujurnya lebih selesa menyokong segala minat anak dan tidak meletakkan kerjaya tertentu untuk dipilihnya. Bagi saya, Aleesya berhak membuat keputusannya mengikut apa yang diminati.

"Saya mahu menjadi seorang ibu yang akan menyokong semua minat Aleesya tanpa mengawalnya dengan bermacam syarat. Kalau pun nanti, dia ada minat menceburi kerjaya seni, saya akan sokong dan memantau saja.

"Apa-apa pun keputusan dibuat Aleesya untuk minatnya dan ia perkara baik, saya okey dan tiada masalah untuk merestui serta memberikan galakan. Bagi saya, asalkan Aleesya suka dan dia serius dengan kerjaya itu," katanya.

Erra berkata, setakat ini memang dia ada mendapat banyak permintaan untuk anak kesayangannya terbabit dalam kerjaya seni termasuk berlakon iklan.

Namun, Aleesya masih kecil dan memerlukan kebenaran bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 7:00 AM