AKTIVIS alam sekitar Indonesia mengambil bahagian dalam kempen di Jakarta, mendesak kerajaan bertindak lebih serius menangani jerebu di Sumatera dan Kalimantan.
AKTIVIS alam sekitar Indonesia mengambil bahagian dalam kempen di Jakarta, mendesak kerajaan bertindak lebih serius menangani jerebu di Sumatera dan Kalimantan.
Agensi

Pekanbaru: Penduduk di wilayah Riau mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan selepas hilang sabar dengan bencana jerebu tebal yang berlarutan sejak dua bulan lalu.

Jerebu tebal yang berpunca daripada asap kebakaran menyebabkan ramai penduduk di wilayah itu jatuh sakit dan ada yang meninggal dunia.

Pihak berkuasa dilihat masih gagal memadamkan kebakaran hutan yang berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian.

Keadaan itu menyebabkan satu pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Lembaga Adat Melayu (LAM) Riau memulakan proses undang-undang terhadap kerajaan tempatan dan pusat.

Pegawai LAM, Al Azhar berkata, kerajaan dilihat lalai kerana membiarkan aktiviti pembakaran hutan di wilayah itu berlarutan selama 17 tahun.

“Kami memulakan proses dengan membuka pusat pengaduan di beberapa daerah dan kawasan di wilayah ini.

“Penduduk yang terjejas atau mengalami kerugian akibat bencana ini boleh membuat aduan,” katanya.

Menurutnya, penduduk boleh membuat aduan mengenai kerugian harta benda, kesihatan atau kehilangan ahli keluarga akibat jerebu.

“Ini bukan soal menang atau kalah, tetapi kami mahu buktikan bahawa kerajaan lalai menjalankan tugas mereka,” katanya.

Menurutnya, apabila semua aduan dan jumlah kerugian dikumpul barulah pihaknya memulakan tindakan mahkamah terhadap kerajaan.

“Kami berharap mereka yang menyebabkan kebakaran hutan dan pegawai kerajaan yang gagal menjaga amanah rakyat dihukum oleh mahkamah,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 8:48 AM