SEBUAH helikopter menggugurkan air di kawasan kebakaran hutan di Ogan Ilir berhampiran Palembang, baru-baru ini. - Antara Foto
SEBUAH helikopter menggugurkan air di kawasan kebakaran hutan di Ogan Ilir berhampiran Palembang, baru-baru ini. - Antara Foto

Jakarta: Agensi bencana Indonesia semalam menggesa tindakan tegas diambil terhadap syarikat perladangan yang mengamalkan teknik tebang dan bakar ketika asap kebakaran hutan bergerak melintasi Selat Melaka dan menyebabkan jerebu di Malaysia dan Singapura.

Kebakaran hutan di Indonesia yang bermula pada musim kemarau apabila syarikat perladangan membersihkan tanah untuk pertanian menyebabkan krisis jerebu di rantau Asia Tenggara.

Jerebu tebal menyebabkan lapangan terbang dan sekolah ditutup, dan kerajaan mengeluarkan amaran supaya penduduk tidak keluar rumah.

Indonesia sebelum ini dikritik oleh aktivis alam sekitar dan negara jirannya kerana gagal menghentikan kebakaran hutan yang berlaku hampir setiap tahun.

“Asap berpunca daripada kebakaran hutan di Riau mula memasuki Selat Melaka. Mari halangnya dan padamkan kebakaran,” kata jurucakap Badan Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Nugroho di laman Twitter.

Katanya, sejak minggu lalu, jumlah titik panas di Kalimantan Barat meningkat dengan mendadak.

Tambahnya, cuaca kering yang menyukarkan usaha pasukan pemadam untuk memadamkan api akan mencapai kemuncaknya pada September ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:06 AM