Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia memerlukan tempoh sehingga 30 hari untuk mengawal sepenuhnya kebakaran hutan di negara itu, kata agensi pengurusan bencana kebangsaan semalam.

“Kami menjangkakan jerebu terus berlaku kerana kesan fenomena El Nino dan musim kemarau dijangka berlarutan sehingga hujung November.

“Bagaimanapun, kami menyasarkan untuk memadamkan sebahagian besar kebakaran ini menjelang pertengahan Oktober,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo Nugroho.

Musim hujan biasanya bermula pada November.

Kebakaran hutan yang berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah perladangan menyebabkan jerebu tebal melanda sebahagian wilayah Indonesia serta negara jiran, Malaysia dan Singapura.

Masalah jerebu menjadi isu tahunan di rantau ini dan ramai pihak mengkritik Indonesia kerana masih gagal menghalang aktiviti pembakaran hutan.

Indonesia yang berikrar mengatasi isu itu, menyiasat kira-kira 100 syarikat perladangan termasuk dari Malaysia kerana dipercayai terbabit dalam pembakaran hutan dan ladang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:09 AM