Ramli Ismail bersedia membawa salah seorang pelanggan yang menggunakan khidmatnya untuk melalui ICQS Rantau Panjang bagi pulang ke Thailand. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Ramli Ismail bersedia membawa salah seorang pelanggan yang menggunakan khidmatnya untuk melalui ICQS Rantau Panjang bagi pulang ke Thailand. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Pengusaha motosikal tambang 'tak menang tangan' menerima pelanggan terutama warga Thailand yang menggunakan khidmat mereka untuk mengelak kesesakan lalu-lintas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk ke Thailand.

Tinjauan ke lokasi semalam mendapati berlaku kesesakan sejauh lebih lima kilometer menyebabkan ramai memilih menggunakan motosikal untuk melalui ICQS selain memudahkan mereka yang membawa beg serta barangan.

Penunggang motosikal tambang, Ramli Ismail, 54, berkata, pelanggan mula ramai sejak kelmarin dan dijangka berterusan sehingga hari ini susulan perantau dari Thailand pulang menyambut Aidiladha.

"Alhamdulillah, ini rezeki buat kami kerana kebiasaannya kami hanya menerima tiga atau empat pelanggan saja sehari, namun sepanjang tempoh ini kami mampu memperoleh sehingga 25 pelanggan sehari.

"Kami menawarkan khidmat menghantar pelanggan dari stesen bas sehingga ke Kompleks Imigresen sebelah Thailand dengan caj RM10 seorang. Memandangkan terdapat lebih 40 penunggang motosikal tambang di sini, kami menggunakan konsep nombor giliran supaya lebih bersistematik untuk pembahagian pelanggan.

"Selain itu, kami juga memberi khidmat mengangkut beg atau barangan bagi memudahkan pelanggan terutama yang membawanya dalam kuantiti banyak," katanya ketika ditemui di parkir motosikal tambang, stesen bas ekspres Pohon Tanjung, di sini, semalam.

Ramli berkata, walaupun jarak penghantaran tidak begitu jauh namun mereka sering diingatkan untuk menjaga keselamatan dengan sentiasa memakai topi keledar dan tidak membawa muatan lebih.

Media sebelum ini melaporkan ICQS dipenuhi ribuan warga Thailand yang mahu pulang ke kampung sejak awal pagi sempena sambutan Aidiladha.

Susulan itu, berlaku kesesakan lalu-lintas dari perkarangan utama pintu sempadan itu malah ada yang berjalan kaki untuk ke pintu sempadan.

Seorang lagi penunggang motosikal tambang, Azmi Ibrahim, 44, berkata, dia mula bekerja seawal jam 7 pagi kerana dapat mengagak situasi warga Thailand yang berkerja di Malaysia akan pulang ke kampung.

"Justeru peluang ini diambil untuk mencari rezeki. Saya biasanya akan bekerja bermula jam 7 pagi sehingga 6 petang dan masanya membawa ke malam sehingga pintu sempadan ditutup.

"Kemeriahan dengan orang ramai akan dirasai di sini, setiap kali perayaan selain ketika cuti sekolah apabila ramai pelancong masuk ke Thailand melalui ICQS Rantau Panjang," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:51 PM