Pekanbaru (Indonesia): Kebakaran hutan dan belukar di Riau yang berpunca daripada musim kemarau menyebabkan bandar ini dilitupi jerebu sejak pagi semalam.

Sejak 20 tahun lalu, apabila tibanya musim kemarau, kebakaran hutan dan belukar sering terjadi di wilayah berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan beberapa bandar di Riau dilanda jerebu tebal.

Jerebu tebal melanda beberapa kawasan dengan jarak penglihatan berada di bawah satu kilometer.

Indeks Standard Pencemaran Udara di Jalan Tambusai dan Sudirman menunjukkan tahap sederhana dan hampir ke tahap tidak sihat.

Walaupun jerebu melanda, penduduk di bandar ini dilihat masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Penduduk masih lagi keluar dari rumah dan kebanyakan mereka tidak menggunakan topeng muka.

“Kami sudah bosan dengan jerebu yang melanda hampir setiap tahun.

“Kami berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi kebakaran hutan ini,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Bogel, 37. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:05 AM