KEADAAN jerebu di  Jambi, semalam.
KEADAAN jerebu di Jambi, semalam.

Pekanbaru: Pemangku Gabenor Riau, Arsyadjuliandi Rachman memanjangkan status darurat pencemaran udara di wilayah itu sehingga 1 November ini.

“Keputusan ini dibuat kerana kualiti udara di Riau masih belum stabil dan wilayah ini masih menerima asap yang berpunca daripada kebakaran hutan di wilayah berhampiran,” katanya.

Menurutnya, beliau mendapatkan pandangan beberapa pihak termasuk agensi kerajaan, serta Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik.

Perintah darurat dilanjutkan selepas agensi meteorologi memberitahu kualiti udara belum stabil dan hujan dijangka turun pada awal November ini.

“Kami juga mengarahkan supaya perkhidmatan kesihatan ditingkatkan supaya tidak ramai penduduk sakit akibat jerebu,” jelasnya.

Ketika ini pencemaran udara di Riau masih di tahap bahaya dan jerebu tebal masih melanda bandar Pekanbaru serta menyebabkan penerbangan tergendala.

Jabatan kesihatan Riau memberitahu, dari 29 September hingga 18 Oktober lalu jumlah penduduk yang mendapat rawatan akibat jangkitan pernafasan, berpunca daripada jerebu mencecah 62,531 orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:00 AM