Suhaili Saneh, 59 bersama keluarga ketika memilih lembu untuk menjalankan ibadah korban di Kampung Pauh pada hari raya pertama di ladang ternakan di Kampung Bukit Tuku, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Suhaili Saneh, 59 bersama keluarga ketika memilih lembu untuk menjalankan ibadah korban di Kampung Pauh pada hari raya pertama di ladang ternakan di Kampung Bukit Tuku, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tertarik dengan kemeriahan sambutan Aidiladha di Kelantan, sebuah keluarga dari Kota Kinabalu, Sabah, mengambil keputusan melaksanakan ibadah korban di negeri ini.

Suhaili Saneh, 59, berkata, dia bersama isteri dan tiga anak membeli dua lembu di sebuah ladang ternakan, di sini, bagi tujuan korban selain mengakui tidak sabar merasai sendiri pengalaman 'raya haji' di negeri ini.

Katanya, dia memilih menjalankan ibadah korban di Kampung Pauh, di sini, pada hari raya pertama memandangkan lokasi berkenaan berdekatan dengan rumah saudaranya.

"Ini satu pengalaman baru buat kami sekeluarga kerana menyambut Aidiladha di tempat orang. Bagaimana pun, saya bersyukur kerana proses membeli lembu juga berjalan lancar serta tidak sabar menunggu hari esok.

"Kebiasaannya, di Sabah kami menggunakan kerbau dan hanya menjalankan proses ibadah di masjid selain tidak semua tempat menyambutnya dengan meriah, kecuali di beberapa daerah saja.

"InsyaAllah saya bersama anak-anak tidak akan melepaskan peluang bersama bergotong-royong serta melapah lembu seterusnya mengedarkan daging korban," katanya ketika ditemui ketika memilih lembu di ladang ternakan di Kampung Bukit Tuku, di sini, semalam.

Suhaili berkata, selain anak dan menantu, dia turut membawa kesemua cucunya yang masih kecil untuk merasai dan menghayati erti sebenar ibadah korban.

"Tidak kiralah di mana saja kita menjalankan ibadah korban, ianya sama dan sebagai seorang umat Islam kita perlu meraikannya dengan sebaiknya.

"Terima kasih kepada saudara mara saya di sini yang banyak membantu serta menyokong penuh hasrat kami sekeluarga untuk menyambut Aidiladha serta menjalankan ibadah korban di sini.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya berdoa semoga ibadah korban saya dilaksanakan dengan sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:53 PM